LIMBANG: Penganjuran Bazar Krismas Tamu Medamit 2025 bukan sekadar menghidupkan suasana sambutan Krismas, malah menjadi platform merancakkan ekonomi penduduk setempat.
Pengerusi Majlis Daerah Limbang (MDL), Kaunselor Sufian Mohat berkata, ini dilakukan melalui penyediaan ruang kepada penduduk untuk memasarkan produk masing-masing bermula 5 hingga 6 Disember depan.
“Bazar ini antara acara yang paling dinantikan oleh orang ramai memandangkan hanya tiga program besar dianjurkan di Medamit tahun ini.
“Disebabkan itu kita berharap ia dapat menarik pengunjung dari dalam dan luar Limbang termasuk negara jiran Brunei Darussalam,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Media Bazar Krismas Tamu Medamit 2025 di MDL, di sini semalam.
Mengulas lanjut katanya, bazar tersebut dijangka menjadi tumpuan utama apabila penganjur menyasarkan kehadiran sekitar 10,000 pengunjung sepanjang ia berlangsung.
Jelasnya, seramai 40 peniaga telah mengesahkan penyertaan mereka merangkumi peniaga makanan dan minuman produk pertanian serta penternakan termasuk penyertaan peniaga Muslim.
Sehubungan itu, pelbagai aktiviti menarik disediakan seperti Pertandingan Dart, Pertandingan Miss Kebaya Christmas 2025, persembahan artis jemputan, pertandingan mewarna kanak-kanak serta pertandingan menghias pokok Krismas.
“Penganjur utama iaitu Jawatankuasa Tamu Medamit turut melakukan beberapa penambahbaikan bagi memastikan penganjuran kali ini lebih meriah berbanding tahun sebelumnya.
“Selain aktiviti jualan, kaunter pembayaran akan dibuka oleh MDL bagi memudahkan urusan orang ramai,” katanya lagi.
Bazar Krismas Tamu Medamit 2025 dijangka dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Hasbollah bersama Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Danau, Datuk Paulus Palu Gumbang.



