BINTULU : Penganjuran Bazar Ramadan Bintulu 2026 bukan sahaja memberi ruang niaga kepada peniaga tempatan tetapi turut menyokong kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan komuniti.
Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Datuk Muhammad Yakup Kari berkata penganjuran bazar itu selari dengan hala tuju pembangunan Bintulu berdasarkan Pelan Strategik BDA 2024–2030 iaitu Bintulu sebagai model masyarakat inklusif, bandar yang selesa dan mampan.
“Bazar Ramadan berperanan sebagai pemangkin ekonomi komuniti serta menyumbang kepada kesejahteraan sosial penduduk setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada perasmian Bazar Ramadan Bintulu Taman Budaya Bintulu, Jumaat petang.
Simbolik perasmian disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee.
Beliau turut menekankan beberapa inisiatif kelestarian alam sekitar yang dilaksanakan sepanjang penganjuran bazar, termasuk kempen pengumpulan minyak masak terpakai untuk tujuan kitar semula, pengurangan penggunaan plastik sekali guna, menggalakan penggunaan pembungkusan mesra alam serta pmbangunan seimbang antara aspek ekonomi, sosial dan alam sekitar.
“Langkah kecil ini, jika dilakukan bersama-sama, mampu memberi impak besar terhadap kebersihan dan kelestarian Bintulu,” ujarnya.
Kempen-kempen tersebut bukan sahaja mendidik masyarakat tentang kepentingan menjaga alam sekitar tetapi membentuk sikap bertanggungjawab.
Beliau menyeru semua pihak, termasuk peniaga dan pengunjung, agar bekerjasama memastikan bazaar ini bukan sahaja meriah tetapi juga lestari untuk jangka panjang.
Sebanyak enam tapak Bazar Ramadan melibatkan 261 lot gerai disediakan di sekitar Bintulu dan Samalaju tahun ini bagi memberi lebih banyak peluang ekonomi kepada peniaga tempatan sepanjang bulan Ramadan.

