KUCHING: Bazar Tahun Baru Cina 2025 di Taman Kenyalang menjadi cerminan ‘mini Sarawak’ apabila peniaga daripada pelbagai kaum dan budaya berhimpun di satu lokasi, menawarkan aneka produk kepada pengunjung.

Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng berkata, suasana bazar itu bukan sekadar ruang jual beli, sebaliknya menjadi medan pertemuan masyarakat berbilang kaum yang saling berinteraksi dan berhubung antara satu sama lain.
“Inilah yang dimaksudkan sebagai ‘melting pot’ kerana ia menghubungkan semua orang, termasuk peluang bertemu rakan lama dan bergaul mesra tanpa mengira latar belakang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program Penyalaan Lampu Tahun Baharu Cina dan Jualan Festival Tahun Baharu Cina Kenyalang yang dirasmikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, di sini, malam tadi.
Menurutnya, kesinambungan penganjuran bazar seumpama itu akan diteruskan menerusi bazar raya yang bakal berlangsung serentak dengan sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini.
“Justeru, kita mahu usaha ini diteruskan dan melihat semua kaum berniaga di tempat yang sama, berkongsi idea sama ada menerusi makanan, minuman, kuih-muih atau kek,” jelasnya.
Beliau berkata, bazar tersebut bukan sahaja menjadi titik pertemuan masyarakat berbilang kaum, malah menawarkan kepelbagaian produk daripada hasil tempatan hingga produk kreatif dan inovatif.
“Kita dapat melihat produk kampung dipamerkan di sini, selain biskut kreatif dan pelbagai lagi pilihan yang membolehkan pengunjung mempunyai banyak alternatif.
“Oleh itu, saya percaya Kuching dan Sarawak sudah bersedia kerana kita masyarakat yang kreatif, namun yang paling penting ialah menyediakan platform untuk mereka,” ujarnya.
Beliau menambah, berbeza dengan pusat beli-belah yang menawarkan produk hampir seragam, bazar seperti itu memberikan elemen kejutan kepada pengunjung kerana kebanyakan produk yang dijual adalah hasil buatan sendiri.
“Kebanyakan peniaga menghasilkan produk di rumah, malah ada yang berniaga bersama ahli keluarga, pasangan atau suami isteri, sekali gus menjadikan bazar itu lebih bersifat kekeluargaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata bazar tersebut merupakan antara bazar tertua di Kuching dan dijangka menyambut ulang tahun ke-30 penganjurannya tahun ini dengan lebih 350 permohonan, manakala 297 gerai telah dipilih untuk berniaga.
Tegasnya, Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) sentiasa memastikan kadar sewaan gerai ditetapkan pada kadar rendah dan munasabah bagi membantu peniaga menjual produk pada harga berpatutan, sekali gus mewujudkan ekonomi kitaran.
“Kini ada pasar yang beroperasi hingga lewat malam dan awal pagi. Ini mewujudkan rantaian kesan positif kepada ekonomi dan masyarakat, dengan harga yang kekal berpatutan,” jelasnya.
Wee turut memaklumkan MBKS melaksanakan program penyalaan lampu pasar bermula jam 6.15 petang sebagai sebahagian daripada kempen Cintai Pasar Kita bagi memastikan kelestarian pasar-pasar yang diwarisi sejak sekian lama.
“MBKS memiliki jumlah pasar terbanyak berbanding pihak berkuasa tempatan lain. Justeru, kempen ini bertujuan menarik minat generasi muda untuk terus mengunjungi dan menyokong pasar tradisional,” katanya.
Justeru, ujarnya, usaha mengekalkan pasar tradisional dan menarik kehadiran orang ramai adalah penting bagi memastikan petani serta pengusaha tempatan terus mempunyai ruang untuk memasarkan produk mereka.

