SIBU: Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah hari ini meredah banjir untuk membantu sebuah keluarga yang perlu ke Hospital Sibu bagi mendapatkan rawatan.
Menurut Komander Operasi, PBK I Terrance Jimbun, pasukan bomba tersebut dikerah ke SJK (C) Nang Engkilo, Sungai Maaw, setelah menerima panggilan daripada keluarga berkenaan pada jam 12.11 tengah hari.
“Berdasarkan laporan yang diterima, keluarga tersebut memohon bantuan kerana salah seorang ahli keluarga mereka memerlukan rawatan dialisis di Hospital Sibu,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.
Setibanya pasukan operasi di lokasi, Terrance berkata, pasukan mendapati laluan jalan menuju ke rumah mangsa telah dinaiki air setinggi lebih kurang satu meter.

Keadaan ini menyukarkan pergerakan mangsa dan menyebabkan mereka memerlukan bantuan segera untuk menuju ke tempat yang lebih selamat, jelasnya.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) yang terdiri daripada anggota terlatih segera mengambil langkah dengan menggunakan Personal Floating Device (PFD) untuk meredah banjir.
“Mereka bergerak menuju ke rumah mangsa yang terletak kira-kira 300 meter dari kawasan yang lebih selamat.
“Mangsa yang terlibat dalam operasi pemindahan ini terdiri daripada seorang warga emas lelaki, seorang lelaki dewasa, seorang perempuan dewasa, dan seorang kanak-kanak perempuan.
“Setelah kesemua mangsa berjaya dipindahkan, operasi tersebut tamat pada pukul 1.45 petang,” ujar beliau.



