KUCHING: Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) menjadi tumpuan malam ini dengan kehadiran kira-kira 5,000 orang bagi menyertai Sambutan Hari Malaysia 2026 peringkat kebangsaan.
Sarawak kembali dipilih sebagai tuan rumah sambutan peringkat kebangsaan tahun ini selepas kali terakhir menganjurkan acara tersebut pada tahun 2023.
Atur cara sambutan dijadualkan bermula pada pukul 7 malam dengan segmen prapersembahan, diikuti ketibaan tetamu kehormat termasuk Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, isteri beliau Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, serta Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Bernama, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor juga dijadualkan hadir bagi memeriahkan acara rasmi yang bermula pada pukul 8.15 malam, merangkumi ucapan Perdana Menteri serta majlis menandatangani Buku Khas Sambutan Hari Malaysia.
Sambutan tersebut turut diserikan dengan persembahan gabungan artis, muzikal teater, persembahan final yang melibatkan tiga wilayah, serta pertunjukan bunga api di Tebingan Kuching sebagai acara kemuncak.



