BINTULU: Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) terus memperkukuh hala tujunya ke arah pembangunan yang seimbang, inklusif dan mampan menerusi pelancaran Program Hydro Sprout yang menampilkan pendekatan baharu dalam memperkasakan komuniti melalui teknologi pertanian moden.
Program ini adalah sebahagian daripada usaha BDA untuk mengarusperdanakan prinsip kelestarian, keterangkuman sosial dan pemerkasaan komuniti dalam pembangunan Bintulu selaras dengan matlamat jangka panjang menjadikan bandar ini bukan sahaja maju dari segi ekonomi dan perindustrian tetapi juga dari segi kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat.
Menurut Pengurus Besar BDA Datuk Muhammad Yakup Kari, program seperti Hydro Sprout merupakan refleksi kepada evolusi fungsi BDA sebagai sebuah agensi pembangunan yang progresif dan responsif terhadap keperluan semasa.

Beliau berkata program tersebut mencerminkan hala tuju pembangunan Bintulu yang tidak hanya tertumpu kepada kemajuan industri tetapi turut menekankan aspek kelestarian alam sekitar, keterangkuman sosial dan penglibatan masyarakat.
“Pelancaran program Hydro Sprout ini bertepatan dengan sambutan ulang tahun ke-47 BDA pada 8 Julai lalu. Kami berbangga apabila program ini turut memberi kesan yang nyata dan praktikal kepada komuniti selari dengan matlamat utama BDA sejak penubuhannya,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada pelancaran Program Hydro Sprout Initiative dan Nourish Nature, Nurture Future di perkarangan Perpustakaan Awam BDA Cawangan Kidurong pada Jumaat.
Simbolik pelancaran disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi BDA Datuk Haidar Khan Asghar Khan bersama Pengurus Negara PTT Exploration and Production Public Company Limited (PTTEP) Malaysia, Padsakorn Suwanruji dan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Presiden Kelab Lions Bintulu Kidurong, Angellie Stephen Raja yang hadir sama.
Program tiga tahun ini merupakan sebahagian daripada Program Pembangunan Komuniti (CDP) melalui kerjasama strategik antara PTTEP, Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Kelab Lions Bintulu Kidurong.

Pada masa ini, seramai 10 peserta dari Bintulu sedang menjalani latihan komprehensif dalam teknik hidroponik di bawah bimbingan pakar dan dijangka memulakan tuaian pertama dalam masa terdekat.
Dalam usaha memperluaskan lagi impak sosial dan alam sekitar, PTTEP turut melancarkan kempen “Nourish Nature, Nurture Future” yang merangkumi penanaman 500 pokok dan program pengumpulan sisa elektronik (e-waste) melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk BDA, UPM Sarawak, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Bintulu, NREB Sarawak dan e-Concern (M) Sdn. Bhd.
Tegas Yakup lagi, pertanian hidroponik yang diperkenalkan melalui program ini bukan sekadar inovasi dalam bidang pertanian bandar, malah menjadi salah satu medium untuk membina ketahanan makanan, pendapatan alternatif dan kesedaran terhadap gaya hidup lestari.
Pertanian hidroponik bukan sekadar satu kaedah penanaman, ia merupakan penyelesaian moden dan lestari untuk menangani isu sekuriti makanan bandar, menggalakkan amalan mesra alam serta membuka peluang penjanaan pendapatan.
Melalui inisiatif ini, kami berharap dapat menginspirasikan komuniti agar mengamalkan gaya hidup yang lebih lestari dan berdaya tahan demi menyokong kesihatan dan kesejahteraan rakyat Bintulu.
Beliau turut menyeru agar lebih banyak pihak tampil bekerjasama dalam menjayakan agenda pembangunan mampan kerana kelestarian menurutnya bukan kerja satu pihak semata-mata tetapi memerlukan kolaborasi merentas sektor dan penglibatan semua lapisan masyarakat.


