BINTULU: Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) mengisytiharkan kawasan penganjuran Festival Layang-Layang Antarabangsa Borneo (BIKF) 2026 sebagai zon larangan penerbangan dron sepanjang festival itu berlangsung dari 22 hingga 26 Julai ini.
Menurut notis keselamatan yang dikeluarkan BDA, hanya dron rasmi yang mendapat kelulusan dan kebenaran daripada pihak berkuasa berkaitan dibenarkan beroperasi di kawasan festival.
BDA memaklumkan langkah berkenaan diambil bagi memastikan keselamatan orang ramai, kelancaran penganjuran acara serta mengelakkan sebarang gangguan aktiviti penerbangan layang-layang yang menjadi acara utama festival tersebut.
“Penggunaan dron tanpa kebenaran boleh menjejaskan operasi penerbangan layang-layang selain meningkatkan risiko keselamatan kepada peserta, petugas dan pengunjung yang berada di kawasan festival,” menurut notis itu.
Festival yang bakal berlangsung di Lasar Kenyalang, tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu itu dijangka menghimpunkan 150 peserta dari 19 negara serta 10 negeri di Malaysia selain menarik kehadiran ribuan pengunjung sepanjang tempoh penganjurannya.
Sehubungan itu, BDA menggesa semua pengunjung, peserta dan orang awam supaya mematuhi peraturan keselamatan yang ditetapkan serta tidak menerbangkan dron tanpa kebenaran di kawasan BIKF 2026.
BIKF 2026 akan berlangsung selama lima hari bermula 22 Julai dan menampilkan pelbagai aktiviti serta pertunjukan layang-layang daripada peserta tempatan dan antarabangsa termasuk aktiviti sampingan seperti Pentas Hiburan, gerai jualan dan sebagainya.

