BINTULU: Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) akan melaksanakan kerja pembaikan dan turapan semula jalan di beberapa lokasi terpilih di bawah seliaannya bagi meningkatkan tahap keselamatan serta keselesaan pengguna jalan raya.
BDA dalam kenyataannya memaklumkan kerja penyelenggaraan berkenaan membabitkan beberapa lokasi, antaranya di kawasan University Heights dan Taman Jasmine mengikut pelan kerja yang ditetapkan.
Menurut kenyataan itu, kerja pembaikan dan turapan semula tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan BDA untuk memastikan infrastruktur jalan raya di kawasan pentadbirannya berada dalam keadaan baik, selamat dan selesa digunakan,” menurut kenyataan itu lagi.
BDA berkata pelaksanaan kerja berkenaan turut mencerminkan komitmen agensi itu dalam meningkatkan kualiti kemudahan awam, selain menyokong pembangunan Bintulu yang lebih terancang dan mampan.
Sehubungan itu, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya memberikan kerjasama sepanjang tempoh pelaksanaan kerja, selain mematuhi arahan keselamatan serta kawalan trafik yang ditetapkan di kawasan terbabit.
Pengguna juga diminta supaya lebih berhati-hati ketika melalui kawasan kerja bagi memastikan keselamatan semua pihak sepanjang kerja pembaikan dan turapan semula dijalankan.

