SPAOH: Sebuah klinik kesihatan baharu akan dibangunkan hasil kerjasama Kementerian Kesihatan dan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, inisiatif itu sebagai usaha menggantikan klinik lama sedia ada bagi memastikan komuniti di sana menikmati perkhidmatan kesihatan yang lebih baik.
Katanya, klinik baharu itu akan memperuntukan kos sebanyak RM36 juta.
“Kementerian Kesihatan akan menyumbang RM16.5 juta bagi kos pembinaan manakala bakinya akan ditanggung oleh BDDA.
“Tapaknya telah dikenal pasti dan akan diambil alih, manakala pampasan juga telah dibayar kepada pemilik tanah.
“Kita berharap pembiayaannya dapat dimulakan secepat mungkin dan disasarkan sebelum hujung tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis menyampaikan insentif pendidikan berjumlah RM30,000 kepada 13 pelajar peringkat ijazah, enam pelajar diploma san tiga pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh keputusan 8A dan 9A DUN Bukit Saban, hari ini.
Tambahnya, pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan kementerian kesihatan dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak mengenai perkara itu.
Tegas Uggah, klinik baharu tersebut adalah amat diperlukan memandangkan klinik sedia ada sudah usang dan bangunannya dilihat tidak lagi sesuai.
Pada masa sama, peningkatan jumlah penduduk di daerah tersebut juga dijangka memberi kesan terhadap penggunaan perkhidmatan kesihatan itu.
Sementara itu, beliau turut menegaskan akan mengadakan perbincangan mengenai cadangan pembinaan pusat hemodialisis di Spaoh, Beladin dan juga Kabong.
Beliau sambil itu menegaskan BDDA bersedia menanggung kos pembinaan iaitu sebanyak RM5 juta bagi setiap pusat.
“Saya berharap pusat di Spaoh dapat dimulakan menjelang tahun ini juga.
“Saya mahu ia disiapkan lebih awal berbanding klinik kesihatan baharu kerana ia akan mengambil masa lebih lama untuk disiapkan,” katanya.

