Bebas tuduhan merompak kerana saksi ghaib

KUCHING: Seorang peniaga dibebaskan daripada tuduhan melakukan rompakan bersenjata setelah pengadu kes berkenaan gagal dikesan.

Hakim Mahkamah Sesyen Mohd Taufik Mohd Yusof membuat keputusan membebaskan tertuduh, seorang lelaki berusia 33 tahun selepas pengadu tidak hadir untuk meneruskan perbicaraan kes.

Lelaki tersebut didakwa di bawah Seksyen 395, yang dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan sebatan.

Tertuduh didakwa melakukan rompakan berkumpulan bersenjatakan sebilah parang terhadap pengadu yang berumur 25 tahun pada jam 8.30 malam 17 Disember tahun lalu.

Menurut peguam yang mewakili tertuduh, pengadu telah membuat laporan palsu berkaitan rompakan tersebut kerana tertuduh telah ke rumah pengadu untuk mengutip hutang.

Dia bagaimanapun tidak mempunyai wang dan menyerahkan telefon bimbitnya sebagai cagaran.

Pengadu kemudian membuat laporan polis bahawa dia telah dirompak tertuduh yang bersenjatakan parang bersama-sama empat lagi rakannya yang masih bebas.

Tertuduh diwakili peguam bela Lim Lian Kee.

Suara Sarawak