KUCHING: Beberapa jalan di sekitar Stadium Sarawak bakal ditutup sempena penutupan Para Sukma XXI Sarawak 2024 yang akan diadakan di stadium itu pada 28 September ini.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Farhan Lee Abdullah berkata, penutupan jalan akan dilaksanakan bermula jam 3 petang sehingga selesai.

“Antara jalan tersebut adalah bulatan Kesuma Resort; persimpangan Sumber Alam ke Stadium Perpaduan; simpang masuk ke Stadium Perpaduan dari jalan hadapan serta simpang masuk ke staidum dari Jalan Diplomatik.
“Seterusnya, jalan masuk Pusat Akuatik Pandalela Renong 1 dan 2; jalan masuk Padang Gasing; jalan masuk dari Pusat Skuasy; lorong masuk ke tempat letak bas serta Jalan Stadium Ring,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Tambah beliau lagi, orang ramai yang ingin hadir dinasihatkan supaya menggunakan laluan tertentu untuk ke tempat letak kenderaan awam yang telah dikhaskan.
Kata Farhan, pengunjung dari arah bulatan SESCO dinasihatkan membuat pusingan U di bulatan Casuarina kemudian melalui jalan itu untuk masuk ke simpang Jalan Stadium (ring).
“Kenderaan yang melalui Jalan Diplomatik boleh terus masuk ke kawasan tempat letak kenderaan di tempat letak kereta di belakang Stadium Sarawak.
“Seterusnya untuk laluan keluar orang ramai dari kawasan stadium, kenderaan dari tempat letak kenderaan stadium dinasihatkan keluar menggunakan Jalan Diplomatik menghala ke Demak.
“Kenderaan dari Jalan Stadium (ring) dinasihatkan keluar melalui itu menghala ke Jalan Casuarina,” katanya.
Disebabkan itu, orang ramai yang datang dinasihatkan agar tidak meletakkan kenderaan di sepanjang bahu jalan dan merancang perjalanan selain memilih laluan alternatif bagi mengurangkan kesesakan, ujar beliau.
Sebarang pertanyaan lanjut katanya, boleh menghubungi bahagian siasatan dan penguatkuasaan trafik daerah kuching ditalian 082-259900.

