KUCHING: Sebanyak 120 kontinjen dijangka menyertai Perarakan Keagamaan sempena Sambutan Hari Lahir Dewa Guan Ti Kung 2026 yang akan berlangsung di sekitar pusat bandar di sini, esok.
Beberapa jalan utama akan ditutup dan dilencongkan secara berperingkat bagi memastikan kelancaran acara.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Polis
(ACP) Alexson Naga Chabu berkata, perarakan bermula dari jam 6 petang hingga 12 tengah malam itu akan dikawal oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching menerusi pelaksanaan penutupan serta lencongan jalan mengikut keadaan trafik semasa.
“Langkah itu bertujuan memastikan kelancaran aliran trafik selain menjamin keselamatan peserta perarakan dan pengguna jalan raya,” katanya dalam kenyataan.
Alexson berkata, laluan yang terlibat ialah Lorong Ang Cheng, Jalan Petanak, Bulatan Sri Aman, Jalan Central Timur, Jalan Ban Hock, Jalan Padungan, Jalan Bukit Mata, Jalan Lebuh Wayang, Jalan Wawasan, Lorong Carpenter, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Abell, Jalan Rumbia, Bulatan Petanak dan Lorong Blacksmith sebelum kembali ke Lorong Ang Cheng.
Beliau berkata, pengguna jalan raya dari arah Jalan Tabuan melalui Simpang Tiga disaran menggunakan Jalan McDougall bagi mengelakkan kesesakan di Jalan Lebuh Wayang dan Jalan Wawasan.
Katanya, pengguna dari arah Jalan Haji Taha pula dinasihatkan membuat pusingan di Jalan Power bagi mengelakkan kesesakan di Jalan Gambir dan Jalan Tun Abang Haji Openg.
“Manakala, pengguna dari arah Jalan Pending serta Jalan Padungan digalakkan menggunakan Jalan Sekama dan Jalan Datuk Abang Abdul Rahim sebagai laluan alternatif,” jelasnya.
Sehubungan itu, Alexson memohon kerjasama orang ramai supaya tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan sepanjang laluan perarakan, selain merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan laluan alternatif bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.
Beliau berkata, orang ramai yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kuching di talian 082-259900.




