Beberapa kawasan di Mukah dilanda banjir

MUKAH: Beberapa kawasan di Mukah yang mengalami banjir berpunca dari hujan lebat turun tanpa henti selama enam jam sejak awal pagi, beransur surut sekitar jam 3.50 petang tadi

Menurut laporan Pegawai Pertahanan Awam Daerah Mukah, Kapten (PA) Mohamad Noor Ini, pihaknya telah membuat pemantauan secara berkala ke beberapa kawasan yang berpotensi banjir berkenaan.

“Kawasan yang terlibat ialah Kampung Kuala Lama Mukah, Politeknik Mukah, Kampung Petanak Mukah, Kampung Tellian, Kampung Penakub Cina, Kampung Sesok, Kampung Sau, Kampung Siting Sungai Sebakong dan Rumah Mawar.

“Semua kawasan yang dipantau oleh pihak kita pada sekitar jam 1 hingga 3.50 petang menunjukkan air telah surut dan dalam keadaan selamat, manakala antara punca paras air semakin naik ialah disebabkan oleh sistem perparitan yang tersumbat dan pertembungan air pasang,” katanya kepada Suara Sarawak.

Jelasnya lagi untuk kawasan Mukah kawasan ulu seperti Jalan Bukit Engkerbai memang akan terputus akibat banjir tersebut tetapi masih dapat dilalui kenderaan besar seperti lori.

“Dalam masa empat jam pertama kita akan digerakkan 20 orang anggota dan akan ditambah mengikut keadaan semasa khasnya di kawasan Balingian, Mukah dan Dalat yang memang akan dipantau oleh pihak APM Mukah.

“Pancuan empat roda bersama lori lima tan yang mempunyai dua buah bot fiver dan dua bot aluminium akan kita gunakan untuk operasi kali ini,” katanya lagi.

Beliau turut menyarankan kepada semua penduduk yang berada di kawasan berpotensi banjir agar bersiap sedia menyimpan dokumen penting peribadi di satu tempat yang senang untuk bertindak pantas sekiranya berlaku bencana ini.

Untuk menangani kes-kes kecemasan mahupun banjir di kawasan Mukah orang ramai boleh menghubungi Pusat Kawalan Operasi Dearah Mukah (PKOD Mukah) yang beroperasi selama 24 jam di talian hotline 084-872814.

Operasi pemantauan telah dijalankan oleh pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ke beberapa kawasan berisiko banjir di Mukah.