ARTIKEL

Peta menunjukkan laluan dari Jalan Gambier ke Jalan Main Bazaar yang ditutup mulai 13 Oktober hingga 4 November ini bagi membolehkan kerja pemasangan khemah dan persiapan Regatta Sarawak 2026.

Beberapa laluan di pusat bandar Kuching ditutup mulai 13 Oktober

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pengguna jalan raya di pusat bandar Kuching dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal susulan penutupan beberapa laluan utama mulai 13 Oktober ini untuk memberi laluan kepada persiapan Regatta Sarawak 2026 dan Festival Tebingan Kuching 2026.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, laluan dari Jalan Gambier ke Jalan Main Bazaar akan ditutup sehingga 4 November ini bagi membolehkan kerja pemasangan khemah, persiapan tapak serta kerja pembongkaran selepas acara berakhir.

Peta menunjukkan lima laluan di sekitar pusat bandar Kuching yang ditutup sempena majlis perasmian pada 23 Oktober dan majlis penangguhan Regatta Sarawak 2026 pada 1 November ini.

“Penutupan dan lencongan jalan dilaksanakan bagi memastikan kelancaran penganjuran acara serta menguruskan pergerakan trafik di kawasan terlibat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Regatta Sarawak 2026 dan Festival Tebingan Kuching 2026 dijadual berlangsung di Tebingan Kuching dari 23 Oktober hingga 1 November ini.

Pada 23 Oktober, katanya, penutupan jalan dari Lebuh Wayang ke Jalan Main Bazaar akan berkuat kuasa dari 7 pagi hingga 6 petang sempena majlis perasmian kedua-dua acara berkenaan.

“Beberapa laluan lain turut ditutup mulai tengah hari hingga 6 petang, termasuk laluan dari Lebuh Temple ke Lebuh Wayang serta laluan berhampiran lampu isyarat St Mary menghala ke Lebuh Wayang.

“Sementara itu, penutupan jalan sempena Festival Gendang 2026 pada 31 Oktober akan dilaksanakan dari 6 petang hingga 11 malam, melibatkan enam laluan di sekitar pusat bandar.

“Penutupan jalan turut dilaksanakan pada 1 November sempena majlis penangguhan Regatta Sarawak 2026 dan Festival Tebingan Kuching 2026 dari 7 pagi hingga 6 petang, dengan beberapa laluan tambahan ditutup mulai tengah hari,” katanya.

Sehubungan itu, Alexson menasihatkan orang ramai supaya tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan di kawasan terlibat bagi mengelakkan halangan terhadap kelancaran trafik.

Beliau turut menggalakkan pengguna jalan raya menggunakan laluan alternatif dan merancang perjalanan lebih awal bagi mengurangkan risiko kesesakan sepanjang tempoh penganjuran acara berkenaan.

“Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kuching menerusi talian 082-259900,” katanya.

Peta menunjukkan enam laluan yang terlibat dengan penutupan jalan sempena majlis perasmian Festival Gendang 2026 di Tebingan Kuching pada 31 Oktober ini, dari 6 petang hingga 11 malam.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU