KUCHING: Bedah siasat ke atas pasangan suami isteri yang maut di Sri Aman pada Rabu mendapati lelaki mengalami 11 tikaman di bahagian leher dan dada, manakala isterinya meninggal dunia akibat tikaman di leher.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, CP Datuk Mohamad Zainal Abdullah, berkata bedah siasat dijalankan semalam di Jabatan Forensik, Hospital Umum Sarawak (HUS) oleh pakar patologi.
“Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian mangsa lelaki ialah kecederaan akibat tikaman di leher dan dada.
“Mangsa perempuan pula meninggal dunia akibat kecederaan tikaman di leher,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Sementara itu kata Mohamad Zainal, seramai 21 saksi dirakam keterangan bagi membantu siasatan.
Saksi-saksi tersebut katanya, terdiri daripada ahli keluarga, jiran serta rakan sekerja mangsa.
“Siasatan berhubung kes bunuh ini masih dijalankan secara menyeluruh dan terperinci.
“Namun, motif kejadian masih dalam siasatan dan belum dapat dipastikan sepenuhnya.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta menghormati privasi keluarga mangsa dalam tempoh ini,” katanya.
Proses bedah siasat dijalankan mulai 9.30 pagi ke atas sepasang suami isteri yang ditemui meninggal dunia dengan kecederaan parah di sebuah rumah di Taman Mutiara, Jalan Brayun, Sri Aman pada Rabu.
Jenazah mangsa yang berumur 45 dan 44 tahun itu sebelum ini dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat dan kemudian dibawa pulang ke rumah mereka di Sri Aman sekitar 2 petang.
Mangsa lelaki merupakan guru besar di Sekolah Kebangsaan Sbangki, Lubok Antu, manakala isterinya, seorang jururawat di Hospital Sri Aman.
Mereka meninggalkan tiga cahaya mata masing-masing berusia sembilan, 16 dan 17 tahun.





