BINTULU: Pembangunan infrastruktur dan pelabuhan moden di Sarawak perlu disokong tenaga kerja tempatan berkemahiran tinggi bagi memastikan pengoperasian kemudahan berkenaan kekal cekap, selamat dan seiring dengan kemajuan teknologi.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Majang Renggi berkata, pembangunan fizikal semata-mata tidak mencukupi tanpa tenaga kerja yang mempunyai pengetahuan serta kepakaran teknikal untuk mengendalikan dan menyelenggara sistem moden.
Beliau berkata, penguasaan teknologi menjadi semakin penting berikutan perkembangan automasi, sistem digital dan kejuruteraan moden yang mengubah keperluan operasi pelbagai sektor industri.
“Pelabuhan moden memerlukan sistem yang cekap, manakala sistem yang cekap pula memerlukan sokongan teknologi. Penguasaan teknologi ini seterusnya menuntut tenaga kerja yang berilmu dan berkemahiran tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Kesedaran STEM: Meneroka Dunia Robotik 2026 di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), Jabatan Teknologi Manusia Kampus Bintulu, di sini pada Khamis.
Majang berkata penggunaan mesin automatik, sensor dan sistem pemantauan pintar dalam sektor industri menunjukkan keperluan untuk melahirkan lebih ramai tenaga kerja yang mampu mengendalikan peralatan serta teknologi berkenaan.
Menurutnya, keperluan itu turut melibatkan sektor infrastruktur dan pelabuhan yang bergantung pada kecekapan operasi, penyelenggaraan peralatan serta penggunaan sistem teknologi bagi memastikan kelancaran perkhidmatan.
Sehubungan itu, beliau berkata pembangunan infrastruktur perlu bergerak seiring dengan pengukuhan pendidikan dan latihan kemahiran supaya rakyat tempatan berpeluang memenuhi keperluan tenaga kerja dalam sektor ekonomi yang berkembang.




