MIRI: Bekalan air di kawasan terjejas di Miri dijangka pulih secara berperingkat dalam tempoh kira-kira 12 jam selepas kerja-kerja baik pulih paip utama bersaiz 1,100 milimeter (mm) di Batu 7, Jalan Miri-Bintulu berjaya disiapkan sepenuhnya pada awal pagi tadi.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, kerja-kerja baik pulih yang bermula pada 5 petang, 10 Jun lalu itu berjaya diselesaikan sekitar 8.30 pagi tadi.
“Sarawak Water kini melaksanakan proses pengisian semula sistem, penstabilan rangkaian agihan dan aktiviti ‘flushing’ bagi memastikan kualiti bekalan air berada pada tahap memuaskan sebelum dipulihkan sepenuhnya kepada pengguna.
“Bekalan air dijangka pulih secara berperingkat dalam tempoh kira-kira 12 jam akan datang memandangkan sistem agihan berskala besar memerlukan masa untuk diisi semula, distabilkan dan mencapai tekanan operasi yang normal,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Tambah beliau, komitmen dan kerjasama semua pihak sepanjang pelaksanaan kerja-kerja baik pulih itu amat dihargai dalam memastikan proses pemulihan berjalan lancar.
Terdahulu, Sarawak Water berkata kerja-kerja baik pulih melibatkan saluran paip utama di Batu 7, Jalan Miri-Bintulu perlu dilaksanakan susulan pemantauan berterusan dan penilaian teknikal yang dijalankan ke atas kemungkinan berlakunya kebocoran pada infrastruktur paip utama tersebut.
Hasil penilaian teknikal mendapati kebocoran itu dipercayai berpunca daripada pergerakan tanah di kawasan terlibat yang memberi tekanan kepada struktur paip utama berkenaan.

