KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) bekerjasama dengan Sarawak Water untuk menangani masalah tekanan air rendah yang menjejaskan penjaja dan peniaga di Medan Selera Kenyalang.
Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk Wee Hong Seng berkata, perbincangan lanjut dengan Sarawak Water diadakan pada minggu ini.
“Penyelesaian sementara dipersetujui dengan menyambungkan semula bekalan melalui sambungan sedia ada berhampiran Medan Selera Kenyalang.
Sementara itu, Wee melawat medan selera berkenaan bagi meninjau kerja menaik taraf serta penyambungan semula bekalan oleh Sarawak Water.
Selepas kerja berkenaan selesai, Wee kembali memeriksa bekalan air dan berhubung dengan penjaja bagi memastikan masalah tersebut benar-benar ditangani, bukan sekadar memastikan kerja disiapkan.
“MBKS akan terus memantau keadaan berkenaan dan berhubung dengan Sarawak Water sekiranya masalah lanjut timbul,” katanya.
Dalam pada itu, penjaja dan peniaga telah melaporkan masalah tekanan air rendah, terutama selepas 5 petang.
“Selepas menerima aduan pada bulan lalu, saya melawat lokasi berkenaan untuk meneliti masalah tersebut.
“Kami cuba meningkatkan tekanan air, namun masalah itu berterusan kerana bekalan air yang masuk tidak mencukupi,” katanya.
Wee menzahirkan rasa terima kasih kepada Sarawak Water kerana menyediakan bantuan bekalan air kepada penjaja dan pengusaha makanan dan minuman yang terjejas sepanjang tempoh gangguan.
“Penjaja turut memaklumkan bahawa tekanan air telah bertambah baik dan mengucapkan terima kasih kepada MBKS serta Sarawak Water atas bantuan yang diberikan,” katanya.

