BETONG: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) diarahkan memastikan bantuan bekalan air disalurkan ke kawasan yang terjejas dalam tempoh selewat-lewatnya 12 jam selepas aduan diterima.
Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kekurangan bekalan air kini menjadi antara isu yang mencabar susulan keadaan cuaca panas dan kering yang melanda seluruh negeri, selain mengarahkan semua Residen selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) supaya memantau keadaan bekalan air di kampung dan rumah panjang di bahagian masing-masing.
“Apabila berlaku kekurangan bekalan air, JKM dan JBALB yang dipandu oleh Pejabat Residen, perlu segera membekalkan air ke kawasan yang terjejas.
“Mereka diberikan Petunjuk Prestasi Utama (KPI), iaitu memastikan bantuan bekalan air dihantar dalam tempoh selewat-lewatnya 12 jam selepas aduan diterima,” katanya ketika ditemui sebelum memulakan XPDC 3.0 Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak di sini, hari ini.
Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata, pemantauan di peringkat bahagian amat penting bagi memastikan sebarang gangguan bekalan air dapat ditangani dengan segera, khususnya di kawasan yang terjejas akibat cuaca panas dan kering, selain meminta orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kejadian kebakaran kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan pantas diambil.
Mengenai situasi jerebu yang melanda Sarawak ketika ini, Uggah sekali lagi menasihatkan masyarakat supaya mematuhi segala arahan dan nasihat yang dikeluarkan JPBS sebelum ini, selain sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga demi keselamatan diri dan keluarga.




