KUCHING: Bencana banjir yang melanda di Sarawak khususnya Kuching beberapa minggu yang lepas menyebabkan kekurangan bekalan ikan dan makanan laut.
Hasil tinjauan Suara Sarawak di Medan Niaga Satok kelmarin mendapati beberapa penjual mengalami masalah kekurangan bekalan bagi hasil laut tersebut ekoran banjir.
Berdasarkan tinjauan, suasana di pasar basah pagi semalam agak kurang dengan kunjungan pengguna.
Peniaga ikan Medan Niaga Satok, Mat, 38, berkata bekalan hasil laut terutamanya hasil laut yang segar untuk jualan beliau agak berkurangan berikutan cuaca tidak menentu serta bencana banjir yang melanda di beberapa kawasan.
“Sebelum musim hujan yang berlarutan ini, saya tidak mempunyai masalah bagi mendapatkan bekalan hasil laut yang segar.
Namun, semenjak beberapa minggu ini, hujan lebat tanpa henti sehingga menyebabkan banjir di beberapa kawasan.
“Hal ini menyebabkan kami sebagai peniaga ikan sukar bagi mendapatkan bekalan dari pembekal kerana pembekal tidak dapat turun ke laut bagi menangkap hasil laut yang segar untuk jualan kami,” katanya.
Walaupun hampir semua penjual mengalami masalah yang sama, tetapi semua masalah sudah tentunya mempunyai penyelesaian tersendiri.
Sebagai penjual hasil laut, Fifi, 30, yang telah lama menjalankan perniagaan ini berkata, masalah kekurangan bekalan hasil laut yang segar bukanlah isu besar.
Beliau berkata, pengguna masih boleh mendapatkan hasil laut pada bila-bila masa sahaja cuma ia bukanlah segar melainkan hasil laut yang disejuk beku bagi mengelakkan ia mengalami kerosakan.
“Berniaga hasil laut ini bukanlah seperti kita berniaga sayur.
Kalau berniaga sayur, kerugian yang bakal dialami memang agak besar kerana ia mudah mengalami kerosakan walau apa-apa cara penyimpanan.
“Berbeza pula dengan menjual hasil laut ini.
Kalau kehabisan bekalan atau tidak habis dijual, kita masih boleh sejuk bekukan dan menjualnya di lain hari,” ujarnya.
Tambahnya pula, beliau dan suami hanya mengambil bekalan daripada pembekal sekiranya bekalan sebelum itu habis.
Jika bekalan belum habis, mereka akan menjualnya dengan harga yang rendah kerana tidak mahu menyimpan terlalu lama dan mengakibatkan kerosakan.
Di sebalik rintihan beberapa peniaga ikan di Medan Niaga Satok, masih ada segelintir daripada mereka tetap meneruskan perniagaan mereka tanpa sebarang keluhan.
Menurut Zaini Rahman, 59, seorang penjual ikan terubuk di medan niaga tersebut, beliau setakat ini tidak mempunyai masalah dari segi bekalan kerana beliau hanya fokus kepada penjualan ikan terubuk masin.
“Setakat ini syukur saya belum pernah mengalami masalah kekurangan bekalan kerana fokus saya lebih kepada perniagaan ikan terubuk masin.
“Saya ada juga menjual ikan terubuk segar tetapi kalau ada masanya bekalan terputus, saya masih dapat menjana pendapatan hasil jualan ikan masin,” katanya.
Kebanyakan peniaga ikan di Medan Niaga tersebut menyatakan mereka menghadapi kesukaran untuk mendapatkan hasil laut yang segar terutama apabila keadaan cuaca tidak menentu dan menyebabkan banjir.
