Bekas Adun Padungan dipenjara sehari

KUCHING: Mantan Adun Padungan Dominique Ng Kim Ho dikenakan hukuman penjara satu hari dan denda RM30,000 ataupun tiga bulan penjara setelah didapati bersalah menghina mahkamah pada 2017 oleh Mahkamah Rayuan, semalam.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Abdul Rahman Sebli, Datuk Kamardin Hashim dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah sebulat suara mendapati Dominique bersalah terhadap dakwaan menghina mahkamah membabitkan isu tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) apabila mewakili penduduk Kampung Haji Wahid di Bukit Kanada, Miri yang tanah NCR mereka diberi kepada anak syarikat Samling iaitu Pantai Bayu Indah Sdn Bhd pada 2017.

Dalam klip video yang mensabitkan Domonique terbabit menghina mahkamah itu, beliau dilihat sedang memberi taklimat kepada anak guamnya di luar bilik mahkamah mengenai perkara yang berlaku di dalam kamar Hakim Lee Heng Chong dan ber-kenaan afidavit yang menyokong permohonan penarikan hakim.

Pada 6 Mac 2017, anak guamnya meminta Dominique membuat permohonan melalui prosiding sivil supaya Hakim Mahkamah Tinggi Miri Lee Heng Cheong menarik diri tetapi permohonan mereka ditolak.

Keputusan Mahkamah Rayuan dilihat sebagai faktor penentu kepada kerjaya politik Dominique.

Sekiranya hukuman berkenaan dikekalkan, beliau tidak dapat bertanding pada pilihan raya pada akan datang.

Hal ini kerana undang-undang kini menyatakan seseorang itu tidak akan dibenarkan bertanding dalam mana-mana pilihan raya sekiranya didenda melebihi RM2,000.

Dominique, bekas Ketua PKR Sarawak kali terakhir bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri 2011 di kerusi itu dengan menggunakan simbol Bunga Raya.

Namun, beliau dan Sim Kiang Chiok daripada BN tewas kepada Wong King Wei daripada DAP.

Dominique juga merupakan seorang aktivis sosial dan merupakan Presiden Persatuan Aspirasi Rakyat Sarawak (Sapa)