KUCHING: Seorang bekas kerani pejabat pos dijatuhkan hukuman penjara 22 tahun dan 24 sebatan oleh Mahkamah Sesyen hari ini, kerana melakukan pecah amanah wang pelaburan milik warga emas di Lundu, tahun lalu.
Amirudin Hasra Hassan, 35, mengaku bersalah atas 52 pertuduhan di hadapan Hakim Iris Awen Jon.
Pendakwaan kes mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi 14 tahun dan hendaklah disebat, jika sabit kesalahan.

Dia melakukan kesalahan itu antara Januari 2024 hingga Januari 2025, di sebuah Pejabat Pos di Lundu.
Bagi kesemua 52 pertuduhan, Iris menjatuhkan hukuman penjara 22 tahun dan 24 sebatan.
Manakala, di hadapan Hakim Noorhisham Mohd Jaafar, dia turut mengaku bersalah atas 48 pertuduhan di bawah seksyen yang sama.
Noorhisyam menetapkan tarikh bagi sebutan untuk menjatuhkan hukuman pada 20 Januari 2026.
Sementara itu, 99 lagi pertuduhan di bawah seksyen yang sama, Amirudin mengaku tidak bersalah di hadapan dua hakim berasingan.
Hakim Musli Abdul Hamid memerintahkan tarikh sebutan semula bagi pengurusan kes bagi 51 pertuduhan yang dihadapi Amirudin pada 22 Januari 2026.
Manakala, Hakim Jason Juga turut memerintahkan tarikh sebutan semula bagi pengurusan kes bagi 48 pertuduhan pada 26 Januari 2026.
Secara keseluruhannya, Amirudin menghadapi 199 pertuduhan melibatkan kes pecah amanah wang pelabur daripada 12 pelabur bernilai RM654,300.
Menurut fakta kes, pengadu merupakan pegawai polis mengarahkan pasukan State Retail Unit (SRU) Sarawak untuk menyemak semua dokumen transaksi bermula Januari 2024 hingga Januari 2025 di sebuah pejabat pos di Lundu.
Ia susulan menerima laporan daripada pejabat berkenaan berkaitan salah laku kakitangannya yang terlibat dalam pecah amanah wang beberapa orang pelabur.
Setelah membuat semakan terdapat transaksi yang mencurigakan sepanjang 2024 yang melibatkan pelabur berusia 50 tahun hingga 80 ke atas.
Hasil semakan mendapati pengeluaran wang itu dibuat oleh kakitangan yang bekerja di kaunter pejabat atas nama tertuduh.
Semakan juga menunjukkan pengeluaran yang dibuat dalam setiap transaksi berjumlah RM500 hingga RM5,000 daripada akaun pelabur.
Semakan pada rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) menunjukkan perbuatan tertuduh membuat transaksi keluar wang tanpa kehadiran pelabur.
Hasil siasatan mendapati 12 mangsa warga emas terlibat dalam kejadian tersebut.
Semasa kejadian, tertuduh menggunakan akses yang ada pada dirinya membuat transaksi pengeluaran wang daripada mangsa tanpa perlu kehadiran mangsa sebagai pengesahan.
Berdasarkan laporan audit terdapat 199 transaksi pengeluaran dilakukan oleh tertuduh melibatkan wang bernilai RM654,300.
Pendakwaan kes bagi kesemua pertuduhan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Mohamad Aiman Mutallib Mohamad Shariff, DPP Ruvinasini Pandian, DPP Adriana Maisarah Mohd Farid dan DPP Asmawi Nur Haqim Mokhtar.


