KUCHING: Seorang bekas pekerja kedai dijatuhkan hukuman penjara 13 bulan dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana melakukan pecah amanah harta milik sebuah kedai serbaneka 24 jam membabitkan kerugian RM9,730, Ogos tahun lalu.
Hakim Iris Awen Jon menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah semasa perbicaraan kes bersambung.
Nur, 24, didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah amanah terhadap harta majikannya.
Lelaki itu didakwa mengambil 51 keping kad tambah nilai Touch ‘n Go pelbagai nilai dan wang tunai RM50 di premis terbabit di Jalan Rock, antara 24 hingga 25 Ogos 2025.
Hukuman bagi seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 14 tahun bersama sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, pengadu yang merupakan pengurus stor menerima laporan daripada pekerja lain mengenai kekurangan wang deposit tunai berjumlah RM9,730 pada 25 Ogos 2025.
Insiden itu berlaku ketika tertuduh bertugas dari jam 10.00 malam 24 Ogos 2025 hingga jam 6.00 pagi 25 Ogos 2025.
Pengadu kemudiannya membuat laporan polis untuk tindakan lanjut yang membawa kepada penahanan tertuduh.
Siasatan mendedahkan tertuduh mengambil kad tambah nilai berkenaan dan wang tunai RM50 bagi kegunaan peribadi.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Chuah Kai Sheng manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


