ARTIKEL

Bekas pereka grafik bertukar arah pilih bertani

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Memiliki kerjaya yang mantap dengan pendapatan yang stabil mungkin menjadi pilihan ramai golongan muda, namun ia bukan pilihan bagi Nuraishah Shamsuddin buat masa ini.

Perkongsian gadis berusia 27 tahun ini di laman Twitter, yang sanggup meninggalkan kerjaya sebagai pereka grafik demi minatnya dalam bercucuk tanam menjadi inspirasi para netizen.

Gadis dari Teluk Intan, Perak ini, lebih rela bekerja sendiri dengan berjemur di tengah panas untuk bercucuk tanam sejak Ogos tahun lepas berbanding berhadapan dengan tekanan kerja.

Sejak itu, pemegang ijazah sarjana Pengurusan Sejarah Kesenian dan Kebudayaan ini tidak pernah menoleh ke belakang atau menyesali keputusannya melepaskan jawatan lamanya.

“Alasan saya berhenti kerja adalah untuk menjalani kehidupan bebas daripada tekanan…saya rasa tenang dengan apa yang saya lakukan sekarang, ia adalah lebih baik daripada apa yang saya lakukan sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Bekas pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu, kini memiliki setengah ekar tanah yang terletak dua kilometer dari rumahnya.

Sejak memulakan usaha dalam bidang tani, ladangnya berjaya menghasilkan pelbagai buah-buahan dan sayur-sayuran tempatan dan antarabangsa seperti avokado Australia, mulberi Eropah, terung, salad, bayam, kubis kerinting, tomato, ketumbar dan pasli.

Dilahirkan dalam keluarga tani, Nuraishah berkata beliau didedahkan dengan kemahiran berkebun dan industri pertanian sejak masih kecil.

“Saya masih ingat saya sering mengikuti arwah datuk saya ke ladang buah dan kelapa sawitnya pada sebelah pagi dan ke kandang kambing arwah bapa saya pada sebelah petang.

“Tetapi bagi penanaman sayur-sayuran, saya belajar sendiri melalui YouTube, membaca dan berdasarkan pengalaman yang lepas… ia adalah hobi saya,” katanya.

Hasil tani Nuraishah selain untuk kegunaan keluarga, beliau juga menjual produk buah-buahan dan sayur-sayurannya secara dalam talian, dengan harga RM2 hingga RM37.

“Tidak pernah terlintas dalam fikiran saya untuk menjual hasil tanaman saya sendiri, sehinggalah suatu hari rakan karib saya mahu membeli sayur-sayuran saya. Ia bermula sejak itu dan perniagaan saya kini semakin berkembang,” katanya dan menambah beliau berupaya memperoleh sekitar RM300 sebulan daripada jualannya.

“Saya tidak mempunyai hutang dan komitmen lain. Saya beri keluarga saya makan dan keluarga orang lain dengan membekalkan sayur-sayuran yang sihat. Saya bangga dengan apa yang saya lakukan untuk kebaikan di dunia ini,” katanya.

“Buat masa ini, saya akan memberikan tumpuan untuk ladang saya… mana tahu suatu hari nanti saya akan mempunyai pekerja sendiri,” katanya.

Ciapan inspirasi Nuraishah tentang perjalanannya sebagai petani pada Khamis tular di Twitter apabila mendapat ulang ciap hampir 30,000 dan 54,000 tanda suka setakat ini.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Kembar berbakat besar mahu harumkan nama Sarawak

KUCHING: Kembar berbakat besar kebanggaan Sarawak, Aleysha Shareef dan Ryan Zachary Shareef, 11 tahun, berlepas ke Kuala Lumpur, dan seterusnya ke Long Beach, California, Amerika

Teknik eratkan hubungan keluarga

SIKAP SEDERHANA keluarga adalah suatu cara hidup yang mendasarkan diri pada prinsip kesederhanaan, kecukupan dan keutamaan dalam setiap aspek. Pendekatan ini dapat mengeratkan hubungan ahli