SEPERTI kaca terhempas di atas batu, demikian perasaan seorang bekas isteri menuntut nafkah daripada bekas suami yang culas.
Tidak ingat dan tidak menunaikan tanggungjawab terhadap anak-anak.
Mengapa perkara ini berlaku, sedangkan ada dalam kalangan mereka yang culas mempunyai pendapatan tetap, bahkan boleh dikatakan mampu untuk membayarnya setiap bulan.
Perkara tersebut berlaku akibat sikap hanya pentingkan diri sendiri dalam kalangan segelintir masyarakat, akhirnya anak yang menjadi mangsa.
Pura-pura lupa, sengaja mengabaikan dan lain-lain. Ini adalah realiti yang berlaku kepada segelintir pasangan yang telah berpisah.
Hakikat ini yang perlu ditelan, kerana isu panas itu juga sering dilaporkan di dada akhbar, televisyen serta tular di media sosial.
Bagaimana seorang bapa boleh melupakan tanggungjawab kepada anak?
Adakah mereka menganggap tugas sebagai ketua keluarga telah selesai selepas terlerainya ikatan perkahwinan dengan bekas isteri?
Apa yang menyedihkan ialah, ada kes yang berlaku kerana dendam dan geram berpanjangan terhadap pasangan atau tidak sanggup untuk berhubung lagi dengan pasangan atas sebabsebab tertentu.
Kerana sikap sedemikian perkara yang boleh diselesaikan dengan mudah terpaksa dibawa ke muka pengadilan dan bermulalah episod turun naik ke Mahkamah Syariah.
Ada kes yang berlarutan sehingga bertahun-tahun tanpa ada kerjasama yang baik daripada bekas suami atau bekas isteri.
Fahamilah bahawa kewajiban memberi nafkah kepada anak tidak akan terputus walau apa sekalipun keadaan atau hubunhan suami isteri sudah berakhir.
Perpisahan hanya melibatkan ibu bapa, tetapi bukan dengan anak-anak. Mereka tetap darah daging sampai bila-bila.
Memetik laporan berita nasional, sikap bimbnag kehilangan anak dan enggan mengaibkan keluarga, menjadi antara punca utama ramai isteri tidak memohon perintah Mahkamah Syariah untuk memenjarakan suami walaupun boleh berbuat demikian bagi tuntutan nafkah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata isteri sama ada masih dalam perkahwinan atau telah bercerai, mempunyai pilihan untuk menghukum suami melalui langkah sedemikian.
Katanya, prosedur tersebut dipanggil prosiding komital, namun biasanya tindakan untuk pemenjaraan ini, isteri dan anak guna sebagai langkah akhir.
Jelasnya, kalau tidak dapat menuntut nafkah anak melalui potongan gaji atau suami tidak mempunyai akaun bank atau harta seperti rumah, inilah cara yang ada untuk paksa supaya lunaskan bayaran.
Jadi boleh sumbat suami yang culas bayar nafkah ke dalam penjara.
Bagaimanapun, beliau memberitahu berdasarkan pengalamannya sebagai Ketua Hakim Syarie di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), langkah melalui perintah penjara masih jarang digunakan isteri di negara ini, sebaliknya mereka menggunakan pelbagai pendekatan lain.
Mengambil contoh di Terengganu, ia menyaksikan seramai sembilan individu sudah dihukum penjara atas kesalahan gagal melunaskan bayaran tuntutan nafkah yang diperintahkan Mahkamah Syariah.
Ketua Hakim Syarie Terengganu Datuk Wan Zakri Wan Mohd menyatakan, sembilan individu terbabit dijatuhkan hukuman sejak 2012 hingga 2019.
Katanya lagi, tempoh penjara yang dikenakan kepada sembilan individu terbabit antara tujuh hari hingga maksimum 30 hari mengikut Peruntukan Tindakan Notis Penghakiman yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah.
Beliau seterusnya menegaskan bahawa Mahkamah Syariah tidak memandang ringan mengenai kesalahan ini dan tindakan sewajarnya boleh diambil sekiranya pihak lelaki masih culas membuat pembayaran nafkah.
Kita mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di Terengganu, ia bukan perkara yang boleh dianggap remeh kerana ia adalah berdasarkan tanggungjawab dan kewajiban sebagai seorang bapa.
Kes ini bukan sahaja berlaku dalam kalangan rakyat biasa tetapi juga dalam kalangan artis yang sudah bercerai.
Saban hari kes penceraian semakin meningkat, banyak juga artis yang mendedahkan perpisahan di media sosial sekali gus ada segelintirnya yang mempersoal tentang nafkah anak.
Dengan tindakan yang dilaksanakan, dan apa yang diperuntukkan oleh mahkamah.
Adakah golongan bapa yang tidak bertanggungjawab ini masih tidak sedar lagi?
Berkahwin baharu atau tidak ia bukan penghalang untuk membayar nafkah.
Jangan bebankan bekas isteri dengan tanggungjawab membesarkan anak seorang diri, meskipun dia mempunyai kemampuan kewangan.
Jangan abai tanggungjawab kerana ia adalah apa yang dituntut.
Jadi, apa lagi alasan untuk bapa yang tidak menunaikan tanggungjawab kepada anak selepas bercerai?
Adakah disebabkan masalah kewangan atau masalah yang tidak dapat dielakkan atau berpura-pura tidak ambil peduli?
Tepuk dada, tanya selera.



