ARTIKEL

Gambar Hiasan

Ancaman halus dunia hiburan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

HAMPIR semua orang mengakui kesan negatif terhadap akhlak dan tingkah laku dalam kalangan masyarakat akibat filem dan siri yang banyak memaparkan adegan ganas, seks, ekstremisme dan sebagainya. Dahulu, terdapat penarafan 18SG, 18SX dan 18PL, namun kini dirangkum dalam satu penarafan, iaitu 18.

Kesan negatif ini semakin ketara dengan kepesatan teknologi yang menghasilkan gajet pada harga semakin murah. Kini, semua orang mampu memiliki telefon bimbit, termasuk kanak-kanak seawal usia tadika.

Pelbagai bahan boleh ditonton di mana sahaja, tidak kira di ruang tamu, ruang makan, bilik tidur, tandas, kereta, bas, hatta di dalam kelas yang kononnya untuk belajar.

Terdapat situasi yang membahayakan pembangunan karakter kanak-kanak, namun ramai yang tidak menyedarinya, iaitu hiburan yang kelihatan santai tanpa adegan ganas atau lucah, tetapi mengandungi banyak elemen negatif yang berselindung di sebalik tema santai dan komedi.

Pertama sekali, ramai ahli komedi menggunakan perkataan makian dan lucah dalam persembahan mereka, terutamanya dalam komediri. Hal ini khususnya melibatkan ahli komedi dari Barat, namun malangnya ditiru oleh ahli komedi Asia, termasuk Malaysia.

Kedua, drama televisyen yang dikatakan sebagai drama kemasyarakatan tidak memaparkan adegan ganas atau lucah, namun jalan ceritanya membiasakan perkara negatif, seperti hubungan intim antara lelaki dengan perempuan di luar pernikahan. Hal ini termasuk drama dari negara popular seperti Korea Selatan, namun malangnya turut ditiru oleh drama Malaysia.

Walaupun tiada adegan ganas dan lucah yang nyata, mesej bawah sedar ini menormalisasikan penggunaan kata-kata makian dan lucah, serta cara hidup yang melibatkan hubungan intim antara lelaki dengan perempuan di luar pernikahan.

Salah satu istilah psikologi bagi fenomena ini ialah *benign violation* yang bermaksud pelanggaran yang tidak membahayakan. Malah, ahli psikologi yang mula menggunakan istilah ini, iaitu Peter McGraw dan Caleb Warren, memberikan tajuk *Benign Violation: Making Immoral Behavior Funny* (Menjadikan Kelakuan Tidak Bermoral sebagai Sesuatu yang Kelakar) bagi laporan kajian mereka pada 2010.

Contohnya, komediri tadi. Maki hamun dan kata-kata lucah sememangnya merupakan pelanggaran terhadap adab masyarakat, tetapi kerana hal tersebut diliputi unsur komedi, iaitu suatu suasana yang pada asalnya tidak membahayakan, maka hal tersebut dapat diterima.

Lama-kelamaan, kata-kata lucah itu dijiwai dan dibudayakan dalam percakapan harian kita. Anak muda dan remaja, atas alasan tidak mahu dilihat ketinggalan, dengan selamba menggunakan perkataan-perkataan yang melanggar adab orang Melayu. Ibu bapa juga kadang-kadang terlepas pandang kerana melihat anak hanya menonton lawak jenaka.

Oleh sebab itu, ayat terakhir dalam laporan McGraw dan Warren membawa maksud ketawa dan keseronokan memberi isyarat kepada dunia bahawa pelanggaran norma sememangnya tidak menjadi masalah.

Terkini, di YouTube muncul saluran dalam bentuk kombinasi kartun dan jenaka yang menormalisasikan gaya hidup LGBTQ serta penzinaan dalam kehidupan keluarga. Tiada adegan lucah dipaparkan, sebaliknya hanya cara penyampaian yang menghiburkan, dengan muzik yang mudah diikuti oleh kanak-kanak untuk menari mengikut rentaknya. Sesiapa sahaja mudah terikut-ikut dengan trend sebegini.

Akses mudah kepada bahan seperti ini menunjukkan betapa pentingnya peranan ibu bapa dalam menentukan hala tuju masa depan anak-anak.

Mereka perlu sentiasa mengambil tahu perkara yang ditonton oleh anak-anak serta mengambil tindakan kawalan dan didikan yang sewajarnya. Ibu bapa juga perlu peka terhadap kandungan dan mesej yang ditonton, bukan sekadar menilai berdasarkan paparan luaran semata-mata.

BERITA LAIN

NIDJI bawa mesej perpaduan

Kumpulan muzik rock alternatif Indonesia, Nidji, mahu menjadikan pentas muzik sebagai ruang untuk menyebarkan mesej positif bagi meredakan ketegangan dan perselisihan faham antara rakyat Malaysia

BERITA TERBARU