Kumpulan muzik rock alternatif Indonesia, Nidji, mahu menjadikan pentas muzik sebagai ruang untuk menyebarkan mesej positif bagi meredakan ketegangan dan perselisihan faham antara rakyat Malaysia dengan Indonesia.
Vokalisnya, Yusuf Ubay berkata, pemuzik mempunyai peranan tersendiri dalam membina persefahaman, khususnya ketika perbezaan pandangan dalam kalangan masyarakat kedua-dua negara menjadi perdebatan di media sosial.
Menurutnya, perselisihan yang berlaku tidak seharusnya menjejaskan hubungan persahabatan dan persaudaraan yang telah lama terjalin antara Malaysia dengan Indonesia.
Katanya, muzik berupaya menyatukan masyarakat daripada pelbagai latar belakang melalui pengalaman, emosi dan minat yang dikongsi bersama.
Justeru, Nidji mahu memainkan peranan sebagai suara yang menenangkan keadaan,bukannya membiarkan perbezaan pendapat terus mencetuskan perpecahan.
Ubay turut mengingatkan orang ramai supaya tidak terlalu menumpukan perhatian kepada perkara negatif sehingga mengabaikan pelbagai peluang untuk menjalinkan kerjasama dan melakukan perkara yang bermanfaat kepada kedua-dua negara.
Dalam pada itu, beliau berharap kehadiran Nidji dapat memberikan pengalaman positif kepada peminat di Malaysia, selain mencipta kenangan indah yang mampu mengatasi sebarang perselisihan.
Katanya, kumpulan itu hadir dengan semangat kasih sayang dan kebersamaan serta berharap muzik terus menjadi medium yang mendekatkan masyarakat tanpa mengira sempadan negara.
Terdahulu, hubungan antara pengguna media sosial Malaysia dengan Indonesia menjadi perhatian susulan polemik berkaitan dengan satu hantaran oleh jenama Indonesia yang dipercayai menyentuh sensitiviti rakyat Malaysia.
Isu itu turut dikaitkan dengan perdebatan mengenai reaksi segelintir pengguna media sosial terhadap bola sepak Malaysia selepas Indonesia menjuarai Piala ASEAN FIFA 2026 dengan menewaskan Thailand.



