Bekerja dari rumah, tolong patuh arahan. Ada syarikat besar ingkar arahan PKP

SIBU: Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Kaunselor Clarence Ting Ing Horh mendedahkan hari ini ramai majikan telah mengarahkan pekerja mereka untuk bekerja ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masuk hari keempat.
Menurutnya, seawal pagi lagi beliau menerima mesej daripada orang ramai yang meluahkan perasaan tidak puas hati bahawa syarikat besar melanggar PKP dengan bertanya sama ada kedai perabot, aksesori kereta dan perkhidmatan dispenser air boleh beroperasi dalam tempoh ini.
“Mungkin yang paling mengganggu saya adalah mesej daripada pasangan, staf yang tidak mahu bekerja memberitahu saya, mereka dipaksa oleh bos mereka untuk datang bekerja.
“Ia adalah luahan meminta bantuan, mereka berasa tertekan semasa PKP,” katanya sebentar tadi.
Ting memberitahu, beberapa orang awam di sini mendakwa dalangnya adalah majikan mereka yang memaksa mereka bekerja walaupun mengetahui hakikat sangat penting untuk memastikan keluk Covid-19 di bahagian itu dilandaikan.
“Arahan untuk terus duduk di rumah semasa PKP dikuatkuasakan di Sibu ternyata tidak diambil endah apabila ramai yang mengingkarinya,” tegas beliau lagi.
Sementara itu, Ting juga mendedahkan aduan yang beliau terima daripada pekerja kedai kopi yang mendakwa pemilik kedai itu masih membenarkan pelanggan tetap menjamu selera di premis itu, yang pengadu enggan dedahkan di mana lokasinya kerana khuatir dibuang kerja.
“Mereka memberitahu bahawa ada keluarga untuk disara oleh sebab itu mereka enggan mendedahkan lokasi berkenaan kerana dibimbangi akan dimarahi serta dibuang kerja oleh majikan mereka.
“Oleh itu, saya terpaksa keluar memantau di sekitar bandar ini untuk mengesahkan dakwaan tersebut dan mendapati bahawa walaupun jalan lengang, namun masih terdapat banyak kereta yang diparkir di kawasan komersial di bandar ini.
“Terdapat banyak komen daripada orang ramai yang melihat masih ramai yang turun bekerja khususnya pejabat di bandar,” jelas Ting.
Beliau berkata, ramai yang tertekan dengan perbuatan majikan sedemikian namun beliau tidak dapat membuat apa-apa kerana pengadu enggan mendedahkan lokasi mereka.
“Saya sarankan mereka supaya menghubungi Bilik Gerakan Covid-19 Sibu yang dikendalikan oleh pihak polis di talian 084-323224 atau WhatsApp ke 013-9994158 bagi membuat aduan mengenai masalah mereka itu,” tambahnya.
Sibu mencatatkan kematian pertama Covid-19 semalam melibatkan seorang lelaki berusia 55 tahun dari Kanowit yang dikaitkan dengan Kluster Pasai yang setakat ini telah mengakibatkan 664 kes positif.

Suara Sarawak