KUCHING: Rakyat Sarawak kini berpeluang mengikuti program Sarjana Perniagaan bertaraf dunia dari University of Melbourne secara dalam talian menerusi kerjasama strategik bersama Institut Pengurusan Sarawak (MASA), dengan sokongan kelas tutorial percuma di Kuching.
Kerjasama tersebut dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua institusi bagi memperluas akses pendidikan antarabangsa kepada rakyat Sarawak tanpa perlu menanggung kos penuh pengajian di Australia.
Timbalan Setiausaha Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) yang juga Presiden MASA Datuk Seri Abdullah Zaidel berkata, program tersebut membolehkan pelajar dari seluruh Sarawak, termasuk luar bandar, mengikuti pengajian secara dalam talian sambil menerima bimbingan tambahan melalui kelas tutorial yang disediakan MASA.
Menurutnya, tutorial percuma ini akan dikendalikan secara sukarela oleh profesor dan tenaga akademik dari universiti tempatan bagi membantu pelajar menamatkan pengajian dengan lebih berkesan.
“Sebagai contoh, pelajar dari Sibu boleh mengikuti pengajian secara dalam talian dan pada masa tertentu datang ke Kuching untuk menghadiri kelas tutorial percuma anjuran MASA.
“Ini merupakan peluang besar kerana program ini datang daripada University of Melbourne yang merupakan antara universiti terbaik dunia,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani MoU itu di Dewan Kenyalang, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.
Beliau berkata, model pembelajaran tersebut turut memberi fleksibiliti kepada pelajar untuk memulakan pengajian di Sarawak sebelum menyambung sebahagian pengajian secara fizikal di Melbourne, Australia.
Katanya, pendekatan ini membolehkan kos pengajian dikurangkan berbanding pelajar yang perlu menetap sepenuh masa di luar negara.
Sementara itu, Timbalan Dekan Fakulti Perniagaan dan Ekonomi University of Melbourne Profesor Peter Gahan berkata, kerjasama tersebut dibangunkan selama kira-kira setahun bagi memastikan program yang ditawarkan benar-benar memenuhi keperluan semasa industri dan pembangunan kepimpinan.
Menurut beliau, program ini bukan sekadar pembelajaran melalui rakaman video, sebaliknya melibatkan pendekatan interaktif termasuk sesi langsung, pembelajaran kendiri dan penyelesaian masalah berasaskan situasi sebenar.
“Kami mahu pelajar memperoleh pengalaman pembelajaran yang mampu mempercepat perkembangan kerjaya mereka serta membantu membentuk masa depan Sarawak,” katanya.
Tambah beliau, program berkenaan turut memberi penekanan bidang berkaitan kecerdasan buatan (AI), kepimpinan strategik dan cabaran ekonomi global yang kini mempengaruhi organisasi moden.
Program Sarjana Perniagaan ditawarkan secara fleksibel dengan tempoh pengajian antara 18 bulan hingga dua tahun secara separuh masa, selain dua sesi pengambilan pelajar setiap tahun.



