Belanja PRN dua kali ganda

KOTA BHARU: Kerajaan menjangka perbelanjaan untuk proses PRN Sabah meningkat dua kali ganda berbanding kebiasaan berikutan ia berlangsung ketika pascapandemik Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan berkata, perbelanjaan itu meliputi penggunaan dakwat celup yang berbeza dengan kaedah biasa, penggunaan sanitasi, elaun petugas dan keluasan kawasan pilihan raya.

Beliau bagaimanapun berkata, perkara berkaitan SOP akan dibincangkan dalam satu mesyuarat dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) di Parlimen semalam.

“Saya boleh sahkan yang pilihan raya pada pasca-Covid-19 ini melibatkan kos yang lebih tinggi.

Saya difahamkan oleh SPR bahawa perbelanjaan dakwat untuk celup jari tidak boleh digunakan seperti biasa.

Mungkin perlu gunakan dakwat yang banyak.

“Kemudian proses untuk sanitasi, penyediaan tempat, penjarakan dan sebagainya mungkin makan masa yang lama menyebabkan elaun pun bertambah.

Kerajaan terpaksa tambah peruntukan untuk pilihan raya ini,” katanya kepada pemberita pada program agihan daging korban Parlimen Kota Bharu di Dun Tanjong Mas di sini, semalam.

Takiyuddin berkata, kerajaan akan menyusun SOP yang terbaik untuk PRN Sabah bagi memastikan semuanya berjalan lancar selain mengelakkan wujudnya kluster baharu Covid-19.

Beliau berkata, PRN Sabah tidak boleh dielakkan dan perlu mengambil kira peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Sabah serta Perlembagaan Persekutuan selepas pembubaran Dun.

Pada Khamis lalu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memaklumkan Yang diPertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin memperkenan permohonan beliau untuk pembubaran Dun Sabah.

Dalam sidang media khas di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah di Kota Kinabalu, Mohd Shafie berkata, PRN akan diadakan dalam tempoh 60 hari.

Tindakan itu susulan bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman Musa menerusi peguamnya memaklumkan sudah menyerahkan 33 Akuan Bersumpah (SD) dibuat Adun kepada Tun Juhar untuk mengambil alih tampuk kepimpinan Kerajaan Sabah.

Susulan sokongan yang diperolehnya, Musa dilaporkan berkata, tiada sebab kukuh untuk Dun Sabah dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRN kerana hanya membuang masa dan wang ketika Covid-19 masih melanda yang berpotensi membahayakan rakyat.

Suara Sarawak