ARTIKEL

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr Aila Abdul Latif

Belanjawan 2026: Pelaburan Jangka Panjang Untuk Rakyat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Belanjawan 2026 dilihat sebagai pelaburan jangka panjang kerajaan dalam membangunkan potensi rakyat melalui ilmu, kemahiran dan kesejahteraan sosial yang mampan.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi, Universiti Malaysia Sarawak, Dr Aila Abdul Latif berkata, dasar fiskal yang menyalurkan sumber secara strategik ke sektor pendidikan mampu menangani isu kos sara hidup dan jurang pendidikan.

“Malah, ia juga meningkatkan motivasi serta kesejahteraan psikososial dalam kalangan tenaga kerja pendidikan, sekali gus memberi kesan langsung terhadap kualiti pembelajaran murid,” ujarnya ketika dihubungi Suara Sarawak di sini, hari ini.

Tambah beliau, hala tuju dasar fiskal dalam Belanjawan 2026 menunjukkan peralihan daripada model bantuan menyeluruh kepada strategi pengurusan kebajikan berasaskan keperluan sebenar rakyat.

“Langkah ini memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan, sekali gus mengurangkan ketirisan dalam agihan sumber negara dan memperkukuh jaringan keselamatan sosial,” katanya.

Menurutnya lagi, peralihan tersebut sejajar dengan prinsip kecekapan sumber dan keadilan sosial melalui pendekatan yang lebih tersusun dan berfokus yang mencerminkan keutamaan kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat.

“Pun begitu, kejayaan hala tuju ini bergantung kepada pelaksanaan praktikal di peringkat kerajaan pusat, negeri dan komuniti.

“Antara aspek penting adalah kecekapan mekanisme pengagihan, pemantauan serta keberlanjutan fiskal dalam jangka panjang,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Dr Aila berkata pendekatan subsidi bersasar dan peluasan bantuan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) juga antara langkah kerajaan untuk memperkukuh sistem perlindungan sosial agar lebih inklusif dan efektif.

“Strategi ini mencerminkan keseimbangan antara bantuan segera dengan pembangunan kapasiti rakyat supaya mereka mampu berdikari serta meningkatkan taraf hidup secara mampan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata prinsip keadilan pendidikan semakin terserlah apabila peruntukan besar disalurkan bagi memastikan setiap lapisan masyarakat, tanpa mengira latar ekonomi, berpeluang membina masa depan melalui pendidikan berkualiti.

“Bantuan seperti e-Tunai Belia, subsidi peranti untuk pelajar berpendapatan rendah, penambahbaikan sekolah daif dan peluasan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) adalah untuk memperbaiki infrastruktur.

“Ini juga satu penekanan daripada kerajaan yang ingin memperkukuh akses kepada pendidikan berkualiti,” tambahnya.

Selain itu, pelarasan struktur gaji penjawat awam dalam sektor pendidikan di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) Fasa 2 yang bermula Januari 2026 dilihat sebagai langkah signifikan dalam meningkatkan kesejahteraan tenaga pengajar.

“Apabila kebajikan guru ditingkatkan, ia membantu menaikkan motivasi, semangat dan prestasi kerja para pendidik yang akan memberi impak positif kepada pembelajaran murid,” jelasnya.

Tegasnya, Belanjawan 2026 menumpukan kepada pertumbuhan berteraskan kemampanan dan kemahiran.

“Sektor pendidikan, digital dan hijau menjadi teras utama yang menggerakkan ekonomi serta membuka peluang pekerjaan berpendapatan lebih baik untuk rakyat.

“Peningkatan peruntukan kepada TVET akan melahirkan tenaga kerja mahir yang mampu memenuhi keperluan industri moden, manakala pembangunan sektor digital dan tenaga hijau pula bakal menjana pekerjaan baharu serta menarik pelaburan swasta,” ujarnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU