ARTIKEL

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2027 peringkat dasar bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat.

Belanjawan 2027 Dirangka Untuk Ringankan Kos Sara Hidup, Tingkat Kesejahteraan Rakyat – Amir Hamzah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Usaha meringankan beban kos sara hidup dan meningkatkan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan kerajaan menerusi Belanjawan 2027, dengan tumpuan kepada peningkatan pendapatan, pengukuhan bantuan sosial serta penyediaan perkhidmatan asas yang lebih berkualiti.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata kerajaan memahami keresahan rakyat yang berdepan tekanan kos sara hidup, khususnya ibu bapa yang perlu mengurus perbelanjaan keluarga dan persekolahan anak serta pekerja yang berusaha mencukupkan pendapatan hingga hujung bulan.

Beliau berkata kos sara hidup kekal menjadi antara persoalan utama rakyat yang menuntut perhatian dan tindakan kerajaan, justeru usaha meringankan beban berkenaan dijadikan lunas pertama Belanjawan 2027 dengan penyediaan bantuan rakyat termasuk Sumbangan Asas Rahmah (SARA) adalah yang tertinggi dalam sejarah.

“Untuk makluman semua, setakat 22 Okt, RM3.6 bilion telah disalurkan kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) melalui tiga fasa bayaran. Keseluruhannya, jumlah STR dan SARA yang telah disalurkan kepada penerima yang layak mencecah hampir RM12 bilion.

“Hampir sembilan juta penerima telah menggunakan SARA dengan nilai transaksi RM6.1 bilion atau kadar penggunaan 99.7 peratus, manakala SARA Untuk Semua telah dimanfaatkan lebih 20 juta penerima dengan nilai transaksi melebihi RM1.9 bilion atau kadar penggunaan 92 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 (Belanjawan 2027) peringkat dasar bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat hari ini.

Bagi meneruskan usaha meringankan perbelanjaan isi rumah, Amir Hamzah berkata peruntukan Belanjawan 2027 bagi STR dan SARA ditingkatkan kepada RM16 bilion pada 2027, dengan kadar bantuan SARA dinaikkan hingga RM150 sebulan atau RM1,800 setahun.

Penerima yang berdaftar di bawah eKasih pula, katanya, akan menerima tambahan bantuan hingga RM100, menjadikan jumlah SARA bulanan mereka hingga RM250 atau RM3,000 setahun.

Beliau berkata kerajaan turut memperluas capaian SARA kepada pembelian barangan basah dan segar di 216 Pasar Tani dan Tamu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mulai 2027, selain meningkatkan penyertaan kedai runcit kecil dan koperasi sebagai Rakan Niaga SARA.

“Rangkaian Rakan Niaga SARA kini menghampiri 15,000 premis berbanding sekitar 700 pada 2024, dengan hampir 7,000 daripadanya terdiri daripada kedai runcit kecil dan koperasi… peluasan itu bukan sahaja memudahkan rakyat, malah menyokong kelangsungan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan peruncit tempatan,” katanya.

Dalam aspek peningkatan pendapatan pula, Amir Hamzah berkata kerajaan bersetuju menaikkan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027 yang bakal memanfaatkan lebih empat juta pekerja, selain sedang merangka kerangka gaji minimum bagi pekerjaan separa mahir pada kadar permulaan RM2,500 sebulan.

Beliau berkata Gaji Kehidupan Wajar bagi pekerja syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) turut dinaikkan daripada RM3,100 kepada RM3,400 mulai 2027, yang akan memanfaatkan 230,000 pekerja.

Kerajaan juga, katanya, memberi perhatian kepada kebajikan kira-kira 600,000 pemandu e-hailing dan p-hailing, termasuk melalui rundingan Majlis Perundingan Gig berhubung kadar pendapatan minimum serta kerjasama dengan Grab menerusi pakej pembiayaan bersama RM160 juta bagi meningkatkan pendapatan bersih bulanan pekerja terbabit.

Sementara itu, Amir Hamzah berkata usaha lain turut merangkumi penambahbaikan bantuan kebajikan, termasuk menambah peruntukan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada RM3.3 bilion yang antaranya membolehkan kadar bantuan penjagaan Orang Kurang Upaya (OKU) terlantar dinaikkan kepada RM600 sebulan, manakala ambang pendapatan kelayakan Elaun Pekerja OKU ditingkatkan kepada RM2,000.

Bagi meringankan beban ibu bapa, katanya, Bantuan Awal Persekolahan turut dinaikkan daripada RM150 kepada RM200 bagi semua 5.3 juta murid dengan peruntukan RM1 bilion.

“RM200 juta turut disediakan bagi memperkukuh program penyumberluaran rawatan pesakit untuk mengurangkan tempoh menunggu, manakala pelan insurans dan takaful perubatan asas sukarela MediAsas dijadual dilancarkan pada akhir Januari 2027,” katanya.

Katanya, kerajaan juga akan membenarkan ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berusia bawah 55 tahun membayar premium MediAsas melalui Akaun Sejahtera sebagai antara pendekatan memastikan kemampanan kos pelan berkenaan dalam jangka panjang. -Bernama

BERITA LAIN

BERITA TERBARU