KUCHING: Keberkesanan Belanjawan 2027 untuk Sarawak tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah peruntukan semata-mata, sebaliknya sejauh mana ia mampu memperkukuh kedudukan fiskal negeri dan mempercepat pelaksanaan pembangunan, kata penganalisis politik, Profesor Madya Dr Mazlan Ali.
Menurutnya, antara perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah peralihan daripada bayaran interim kepada formula kekal Geran Khas Sarawak di bawah Perkara 112(D) Perlembagaan Persekutuan sebagai bukti komitmen lebih konkrit terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Komitmen sebenar akan lebih jelas apabila wujud kemajuan dalam menetapkan formula pengiraan berasaskan peratusan hasil atau mekanisme pertumbuhan pendapatan yang lebih mampan,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, semalam.
Beliau berkata, keberkesanan belanjawan juga perlu dilihat dari aspek penurunan kuasa kewangan dan pengurusan projek kepada Sarawak, termasuk memberi autonomi kepada agensi teknikal negeri meluluskan projek Persekutuan sehingga had tertentu bagi mempercepat pelaksanaan pembangunan.
Jika peruntukan yang disediakan tidak memenuhi keperluan asas Sarawak, keadaan itu berpotensi mengukuhkan tuntutan supaya negeri mempunyai ruang lebih besar bergantung kepada kekuatan hasil sendiri, selain menjadi isu dalam rundingan politik antara Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan.
Dari sudut pembangunan, beliau berkata, infrastruktur fizikal dan kemudahan asas perlu menjadi antara ukuran utama, termasuk kelancaran projek Lebuhraya Pan Borneo dan Fasa 2 Lebuhraya Trans-Borneo, bekalan air serta elektrik di kawasan pedalaman dan sambungan jalur lebar luar bandar.
“Pendidikan dan kesihatan juga perlu diberikan perhatian menerusi peruntukan untuk membaiki sekolah daif, menaik taraf klinik desa dan fasiliti hospital daerah, selain sokongan terhadap projek Pusat Kanser Sarawak,” katanya.
Mengulas peningkatan Geran Khas Interim kepada RM1.5 bilion, Dr Mazlan berkata, langkah itu penting dari sudut fiskal kerana memberikan fleksibiliti kewangan kepada kerajaan negeri, selain boleh menjadi tanda aras dalam rundingan formula pemberian khas seterusnya.
Beliau turut mencadangkan insentif bagi menyokong sektor tenaga hijau, ekonomi digital dan CCUS, termasuk projek hidrogen, solar terapung, hidroelektrik serta infrastruktur strategik.

