ARTIKEL

Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.

Belanjawan 2027 ringankan beban peminjam PTPTN

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Lebih 400,000 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bakal menikmati kelegaan pembayaran balik pinjaman menerusi beberapa insentif Belanjawan 2027, termasuk penangguhan bayaran bagi golongan berpendapatan rendah dan potongan cukai kepada majikan yang membantu melunaskan pinjaman pekerja.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan bersetuju menangguhkan bayaran balik pinjaman bagi peminjam berpendapatan RM2,500 sebulan dan ke bawah.

Peminjam berpendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan pula hanya perlu membayar balik sekurang-kurangnya RM50.

Selain itu, peminjam yang tidak mempunyai tunggakan dan membuat bayaran secara teratur akan menikmati diskaun 10 peratus sebagai galakan mengekalkan disiplin pembayaran balik.

Anwar berkata, kerajaan turut menyediakan potongan cukai kepada majikan yang membayar balik pinjaman PTPTN bagi pihak pekerja, meliputi bayaran yang dibuat dari 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2028.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerima peruntukan RM19.1 bilion bagi memperkukuh sektor pendidikan tinggi, termasuk RM800 juta untuk menaik taraf prasarana universiti awam seperti bilik kuliah dan kediaman mahasiswa serta menggantikan peralatan usang.

Kerajaan turut menggalakkan sumbangan orang ramai, alumni dan sektor korporat kepada universiti awam, dengan sumbangan berkenaan layak mendapat potongan cukai pendapatan sehingga 10 peratus daripada pendapatan agregat.

Bagi memperkukuh tadbir urus institusi pengajian tinggi, KPT akan menyediakan kerangka perundangan baharu bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), meliputi autonomi universiti, kebebasan akademik dan hak mahasiswa.

Anwar turut mengumumkan bahawa semua prosiding tatatertib di universiti awam berkaitan kebebasan bersuara, penyataan pandangan, kritikan awam dan perhimpunan aman dihentikan berkuat kuasa serta-merta.

Sementara itu, kerajaan bekerjasama dengan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk mempercepat projek kediaman mahasiswa. Fasa pertama Residensi Mahasiswa Universiti Malaya dijadualkan siap pada 2031 dan dijangka memberi manfaat kepada 10,000 mahasiswa.

Selain itu, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) akan melabur RM750 juta menerusi Projek Vista Kampus bagi membina kediaman mahasiswa di enam universiti terpilih, termasuk Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

BERITA LAIN

BERITA TERBARU