ARTIKEL

Belanjawan 2027: Sarawak Harap Peruntukan Lebih Besar Untuk Sektor Pendidikan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak berharap Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan lebih besar menerusi Belanjawan 2027 bagi memperkasa pembangunan sektor pendidikan khususnya membabitkan usaha menaik taraf sekolah daif dan pembinaan sekolah baharu.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, meskipun Belanjawan 2027 belum dibentangkan, Sarawak mengharapkan peruntukan lebih besar dapat disediakan bagi memenuhi keperluan berkenaan.

“Belanjawan itu masih belum dibentangkan. Kita berharap yang terbaik,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran dan Penyampaian Sijil Pengiktirafan Pendidikan Tidak Formal (IFE) Sarawak – Kemahiran dan Produktiviti Komuniti di Bangunan Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA), Jalan Isthmus, di sini, hari ini.

Untuk rekod, Belanjawan 2027 yang dijadual dibentangkan di Parlimen pada 9 Oktober depan akan memberi tumpuan kepada 10 bidang utama, dengan kepentingan rakyat menjadi keutamaan dalam setiap dasar, ikhtiar dan peruntukan yang bakal dipertimbangkan.

Sementara itu, mengulas perkembangan sekolah daif di Sarawak, Sagah memaklumkan projek berkenaan dilaksanakan secara berperingkat menerusi peruntukan RM1 bilion yang disediakan sebelum ini.

Menurutnya, daripada lebih 1,200 sekolah yang dikenal pasti berada dalam kategori daif di Sarawak, kira-kira 600 sekolah berjaya disiapkan setakat ini.

“Bagaimanapun, jumlah sekolah yang disiapkan itu masih belum mencapai 50 peratus. Sebahagiannya masih dalam pembinaan, manakala sebahagian lagi masih dalam proses tender atau ditender semula,” ujarnya.

Menyentuh penggunaan peruntukan bagi pelaksanaan projek berkenaan, Sagah menjelaskan bahawa ia digunakan sepenuhnya, tetapi kemajuan projek bergantung kepada kapasiti kontraktor untuk melaksanakan kerja-kerja pembinaan.

Jelasnya, proses tender projek dikendalikan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) yang perlu mengambil kira jumlah kontraktor berkemampuan di negeri ini serta bilangan kontraktor yang menerima tawaran bagi melaksanakan projek berkenaan.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU