ARTIKEL

Jaya Ramba

Belanjawan Sarawak 2027 perlu bawa manfaat nyata kepada rakyat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kejayaan Belanjawan Sarawak 2027 tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah peruntukan semata-mata, sebaliknya sejauh manakah pembangunan yang dirancang mampu meningkatkan kualiti hidup rakyat, merapatkan jurang pembangunan dan membuka peluang ekonomi secara lebih adil.

Penganalisis dan pemerhati politik, Jaya Ramba berkata, belanjawan yang dibentangkan oleh Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg perlu diterjemahkan kepada hasil yang dapat dirasai masyarakat, khususnya penduduk luar bandar dan pedalaman. Belanjawan negeri 2027 memperuntukkan RM14.845 bilion bagi perbelanjaan biasa, dengan RM10.098 bilion untuk pembangunan.

“Keutamaan pembangunan perlu merangkumi penyediaan kemudahan asas, peluang pekerjaan berkualiti, akses pendidikan, perkhidmatan kesihatan dan sokongan kepada golongan berpendapatan rendah agar pertumbuhan ekonomi negeri turut meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

“Ketidaktentuan ekonomi global, perubahan harga tenaga dan perkembangan geopolitik menuntut Sarawak memperkukuh daya tahan ekonominya melalui kepelbagaian sektor, termasuk tenaga, pembuatan, pertanian moden, pelancongan dan ekonomi digital, selain memastikan pengurusan kewangan negeri kekal berhemat,” katanya ketika mengulas tentang Belanjawan Sarawak 2027, hari ini.

Dalam pembangunan luar bandar, Jaya berpandangan peruntukan RM6.4 bilion bagi inisiatif berkaitan kawasan berkenaan perlu menghasilkan perubahan nyata, khususnya dari segi akses bekalan air bersih, elektrik, jalan raya, kemudahan kesihatan dan komunikasi.

Katanya, pembangunan infrastruktur perlu disusuli penyelenggaraan berterusan dan peluang menjana pendapatan supaya penduduk bukan sahaja menikmati kemudahan lebih baik, malah berupaya mengembangkan kegiatan ekonomi tanpa perlu meninggalkan komuniti masing-masing.

Dalam bidang pendidikan, beliau menegaskan pelaburan terhadap pembangunan modal insan perlu merangkumi pendidikan awal kanak-kanak, kemudahan sekolah, latihan kemahiran serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), selain memastikan anak Sarawak memperoleh kemahiran yang sepadan dengan keperluan industri masa depan.

Selain itu, Jaya turut menekankan kepentingan memperkukuh perlindungan sosial bagi membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup.

“Peruntukan RM650 juta bagi Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), RM45.9 juta kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak dan RM50 juta bagi Skim Kesihatan Warga Emas antara langkah yang perlu dinilai berdasarkan keberkesanan penyampaian kepada penerima,” ujarnya.

Pada masa sama, tegas beliau, akses kesihatan perlu dipertingkatkan, khususnya bagi penduduk pedalaman yang berdepan jarak perjalanan jauh untuk mendapatkan rawatan. Kemudahan klinik, tenaga kesihatan, perkhidmatan bergerak dan bantuan perubatan perlu diselaraskan dengan keperluan sebenar masyarakat.

Dalam ekonomi digital, beliau berpandangan pelaburan kesalinghubungan perlu disertai capaian Internet yang stabil, kos perkhidmatan berpatutan dan latihan literasi digital supaya penduduk luar bandar, usahawan kecil serta golongan muda dapat memanfaatkan teknologi untuk pendidikan, pekerjaan dan pemasaran produk.

Beliau turut menyifatkan pembangunan pengangkutan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi, namun pelaburan seperti Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) perlu dilaksanakan dengan perancangan menyeluruh, di samping memastikan jalan raya dan jambatan yang menghubungkan kawasan luar bandar terus diberikan perhatian.

Menurutnya, perusahaan kecil dan sederhana serta usahawan tempatan juga perlu mendapat peluang lebih luas menerusi akses pembiayaan, latihan pengurusan, teknologi dan pasaran di mana pelaburan baharu seharusnya membuka lebih banyak pekerjaan berkualiti serta meningkatkan penyertaan rakyat tempatan dalam rantaian bekalan industri.

Jelas Jaya lagi, semua inisiatif berkenaan memerlukan pelaksanaan yang cekap, telus dan bertanggungjawab, termasuk pemantauan kemajuan projek, mutu pembinaan serta manfaat yang diterima masyarakat dan penilaian belanjawan juga wajar berasaskan hasil sebenar, bukan hanya jumlah wang yang dibelanjakan atau projek yang diumumkan.

Beliau menegaskan bahawa kejayaan Belanjawan Sarawak 2027 akhirnya bergantung pada kemampuan kerajaan menterjemahkan perancangan kepada peningkatan kehidupan rakyat, termasuk akses pendidikan yang lebih baik, pendapatan lebih stabil, kemudahan asas yang mencukupi dan peluang ekonomi yang seimbang.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU