ARTIKEL

Datuk Sim Kiang Chiok

Belanjawan Sarawak 2027 perlu terjemah pertumbuhan kepada pendapatan rakyat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Belanjawan Sarawak 2027 perlu memastikan kedudukan fiskal dan pertumbuhan ekonomi negeri diterjemahkan kepada pendapatan lebih tinggi, peluang pekerjaan berkualiti serta kehidupan lebih baik untuk rakyat, kata pemimpin masyarakat dan perniagaan Datuk Sim Kiang Chiok.

Beliau menegaskan, peningkatan hasil negeri tidak seharusnya menjadi ukuran tunggal kejayaan belanjawan, sebaliknya hasil perlu ditukar kepada aset produktif, infrastruktur lebih baik, pendidikan, pekerjaan berkualiti dan peningkatan taraf hidup.

“Kelestarian fiskal juga perlu dilihat dalam jangka panjang dengan Sarawak menggunakan sumber semasa untuk membina sumber pendapatan baharu yang mampan serta mengurangkan kebergantungan kepada komoditi atau sumber tertentu.

“Pembangunan ekonomi pada masa sama mesti berjalan seiring dengan kelestarian alam sekitar kerana Sarawak mempunyai tanggungjawab melindungi hutan, sungai dan biodiversiti untuk generasi akan datang, selaras tiga tonggak PCDS 2030 iaitu kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar,” katanya kepada Suara Sarawak ketika diminta mengulas jangkaan terhadap Belanjawan Sarawak 2027, hari ini.

Menurut Sim, Sarawak perlu mempercepatkan peralihan daripada ekonomi berasaskan eksport sumber mentah kepada industri hiliran bernilai tinggi, teknologi, inovasi dan perkhidmatan.

Antara sektor yang wajar terus diberi keutamaan ialah hidrogen dan tenaga hijau, tenaga boleh baharu, industri intensif tenaga, bateri dan penyimpanan tenaga, ekonomi digital serta kecerdasan buatan (AI).

Beliau berkata sektor pembuatan dan pemprosesan hiliran, pengangkutan dan logistik, pertanian komersial, keselamatan makanan serta pelancongan alam semula jadi dan budaya juga perlu diperkukuh bagi mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi.

“Yang penting bukan sekadar menarik pelaburan, tetapi memastikan rakyat Sarawak mengambil bahagian dalam rantaian nilai melalui pekerjaan lebih baik, peluang kepada PKS tempatan, pembangunan kemahiran, keusahawanan dan pemilikan,” tambahnya.

Dalam menangani kos sara hidup, Sim berkata kerajaan tidak seharusnya hanya bergantung kepada bantuan tunai, sebaliknya turut mengurangkan kos menjalankan perniagaan melalui pengurangan kerenah birokrasi, kos pematuhan dan proses pelesenan yang tidak perlu.

Pada peringkat isi rumah, beliau berharap Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) diteruskan dan jika kemampuan kewangan mengizinkan, ditambah atau diperluas bagi memastikan bantuan terus relevan dengan peningkatan harga barangan keperluan.

Sim turut berharap bantuan kepada warga emas, pesara dan golongan OKU diteruskan serta dikaji semula mengikut peningkatan kos penjagaan kesihatan, pengangkutan, pendidikan, terapi dan keperluan harian.

Tambahnya, pendidikan juga perlu terus menjadi keutamaan, termasuk mengekalkan Skim Pendidikan Tinggi Percuma di institusi milik Sarawak kerana ia merupakan pelaburan penting bagi menyediakan modal insan untuk ekonomi bernilai tinggi.

Dari aspek pembangunan, katanya, jalan raya, jambatan, bekalan air, elektrik, telekomunikasi dan capaian digital perlu terus diperluas bagi mengecilkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar, selain membuka ruang kepada pertanian moden berskala besar serta pelancongan luar bandar.

Mengenai autonomi ekonomi, Sim berkata Sarawak perlu terus memperkukuh penyertaan dalam minyak dan gas termasuk melalui PETROS, selain meneruskan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk penyelesaian formula Geran Khas Perkara 112D secara adil, telus dan mampan.

“Harapan saya mudah, Sarawak perlu terus berkembang, tetapi pertumbuhan itu mesti diterjemahkan kepada pendapatan isi rumah lebih tinggi, peluang lebih baik untuk anak muda, komuniti luar bandar yang lebih kukuh dan kualiti hidup lebih baik untuk semua, tanpa mengorbankan alam sekitar,” ujarnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU