ARTIKEL

Jaya Ramba

Belanjawan Sarawak 2027 perlu utamakan kesejahteraan rakyat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Belanjawan Sarawak 2027 perlu memberi keutamaan kepada kesejahteraan rakyat menerusi pengukuhan utiliti asas, pembangunan luar bandar, peluang pekerjaan anak tempatan, pendidikan, dan kawalan kos sara hidup, kata aktivis masyarakat yang juga Ahli Lembaga Penasihat Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jaya Ramba.

Pengerusi Parti Demokratik Progresif (PDP) Cawangan Piasau itu menambah, ukuran sebenar kemajuan Sarawak bukan sekadar berdasarkan pertumbuhan ekonomi dan peningkatan hasil negeri, sebaliknya sejauh mana kekayaan negeri diterjemahkan kepada kehidupan rakyat yang lebih selesa serta pembangunan yang seimbang antara bandar dan luar bandar.

Menurutnya, bekalan air bersih, elektrik, internet, dan kemudahan asas kini merupakan keperluan kehidupan moden yang perlu dinikmati secara lebih menyeluruh oleh rakyat, terutama di kawasan luar bandar.

“Jurang utiliti antara bandar dan luar bandar perlu terus dikecilkan.

Usaha yang telah dimulakan menerusi Belanjawan 2026 perlu diteruskan dan dipercepatkan supaya lebih banyak kampung menikmati kemudahan asas yang setara,” katanya kepada Suara Sarawak mengenai harapan beliau terhadap Belanjawan Sarawak 2027, hari ini.

Dalam pada itu, Jaya berkata, pembangunan jalan raya juga perlu menjadi keutamaan kerana jalan yang baik bukan sekadar menghubungkan kawasan, tetapi menjadi pemangkin ekonomi masyarakat luar bandar dengan memudahkan akses ke sekolah, hospital, pasar, dan pusat perniagaan.

Jelasnya, Belanjawan 2026 telah memberi penekanan besar kepada pembangunan luar bandar dengan RM6.1 bilion atau 66 peratus daripada perbelanjaan pembangunan diperuntukkan bagi agenda berkenaan, justeru usaha itu perlu diteruskan secara berkesan dalam Belanjawan 2027.

Dalam masa sama, beliau mahu peluang pekerjaan berkualiti hasil pelaburan baharu diberikan lebih banyak kepada anak tempatan Sarawak menerusi latihan kemahiran dan pembangunan modal insan.

“Kita mahu anak-anak Sarawak bukan hanya menjadi penonton kepada pembangunan di tanah sendiri, tetapi menjadi tenaga profesional, jurutera, teknologis, pengurus, usahawan, dan tenaga mahir yang menggerakkan ekonomi negeri,” tegasnya.

Kata Jaya lagi, Sarawak juga perlu memperkukuh sektor bernilai tinggi termasuk tenaga baharu, ekonomi digital, teknologi, industri hiliran, agroindustri, pelancongan, dan ekonomi hijau bagi mempelbagaikan sumber pendapatan negeri.

Bagaimanapun, beliau memberitahu, peningkatan hasil perlu disertai disiplin fiskal dengan setiap projek mempunyai nilai ekonomi dan sosial yang jelas, selain mengelakkan pembaziran serta pertindihan perbelanjaan.

Beliau berkata, kutipan hasil Sarawak pada 2025 sebanyak RM12.553 bilion yang melebihi unjuran disemak RM12.076 bilion menunjukkan pentingnya perancangan kewangan yang berhemah bagi memastikan kedudukan fiskal negeri kekal kukuh.

Dalam menangani kos sara hidup, Jaya berharap Belanjawan 2027 memberi perhatian kepada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana, termasuk meneruskan pendekatan bantuan berkaitan utiliti, makanan, pengangkutan, dan pendidikan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Beliau turut menegaskan pendidikan perlu kekal sebagai pelaburan utama dengan sekolah luar bandar diperkasa dari segi kemudahan, internet, peralatan pembelajaran, dan pengangkutan, manakala latihan teknikal serta pendidikan tinggi diselaraskan dengan keperluan industri.

“Autonomi ekonomi Sarawak perlu diterjemahkan melalui kemampuan negeri menentukan keutamaan sendiri, memperkukuh syarikat tempatan, dan memastikan manfaat pembangunan kembali kepada rakyat.

“Sarawak tidak hanya memerlukan belanjawan yang besar, tetapi belanjawan yang tepat sasaran, berdisiplin, inklusif, dan dekat dengan denyut nadi rakyat,” ujarnya.

BERITA LAIN

Urus tanah gambut secara menyeluruh

KUCHING: Sarawak perlu memperkukuh pengurusan tanah gambut secara menyeluruh bagi mencegah kebakaran dan mengurangkan risiko jerebu, terutama menerusi strategi berasaskan sains dan perancangan jangka panjang.

BERITA TERBARU

Urus tanah gambut secara menyeluruh

KUCHING: Sarawak perlu memperkukuh pengurusan tanah gambut secara menyeluruh bagi mencegah kebakaran dan mengurangkan risiko jerebu, terutama menerusi strategi berasaskan sains dan perancangan jangka panjang.