ARTIKEL

Abang Johari ketika tiba di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, pagi tadi. | Foto: GHAZALI BUJANG

Belanjawan Sarawak 2027: RM20.47 juta perkukuh pengeluaran padi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak akan memperuntukkan RM20.47 juta di bawah Belanjawan Sarawak 2027 bagi meningkatkan pengeluaran padi di zon pertanian utama negeri ini.

Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata langkah tersebut penting bagi mencapai Tahap Sara Diri (SSL) beras sebanyak 60 peratus menerusi peluasan penanaman padi komersial melalui pembangunan tanah moden, mekanisasi dan sistem pengairan.

Katanya, secara keseluruhan, Kerajaan Sarawak juga telah memperuntukkan komitmen sebanyak RM1 bilion bagi mentransformasikan industri padi negeri yang melibatkan kawasan penanaman seluas 14,000 hektar dan akan dilengkapi sistem pengairan serta saliran moden secara menyeluruh.

“Pembangunan tersebut juga akan dilaksanakan secara berfasa.

Fasa 1 dijadualkan bermula pada 2027, melibatkan tujuh kawasan berkeluasan kira-kira 2,000 hektar,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Sarawak 2027 pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, hari ini.

Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu menambah, transformasi tersebut akan dipacu melalui pembangunan padi komersial menerusi Model Pembangunan Kerjasama Awam-Swasta.

“Melalui pelaburan dalam infrastruktur moden, benih berkualiti, mekanisasi dan kemahiran petani, kita berhasrat meningkatkan produktiviti, menambah pendapatan petani serta memperkukuh pengeluaran beras tempatan.

“Usaha ini juga bertujuan meningkatkan tahap sara diri beras Sarawak kepada 60 peratus menjelang 2030,” ujarnya.

Dalam pada itu, bagi meningkatkan tahap sara diri daging lembu kepada 25 peratus menjelang 2030, Abang Johari memaklumkan sebanyak RM24.57 juta diperuntukkan di bawah Belanjawan Sarawak 2027 bagi pembangunan sektor penternakan.

“Daripada jumlah tersebut, RM18.5 juta diperuntukkan bagi memperoleh baka ternakan berkualiti, RM3.37 juta untuk program pembangunan penternakan komersial, RM2.25 juta bagi pembangunan stesen penternakan dan baki RM450,000 untuk program pengembangan serta promosi penternakan.

“Pada masa yang sama, kita akan mempergiat pelaksanaan Ekonomi Kitaran dengan menukarkan sisa pertanian kepada makanan ternakan bernilai tinggi.

“Pada 2027, sebanyak RM500,000 diperuntukkan bagi menyokong pengeluaran makanan ternakan alternatif menggunakan biojisim kelapa sawit dan larva lalat askar hitam (Black Soldier Fly).

“Langkah ini bertujuan mengurangkan kebergantungan terhadap bahan makanan ternakan import serta menurunkan kos pengeluarannya,” jelas beliau.

Sementara itu, beliau memberitahu bahawa Sarawak sedang mempercepat penggunaan Kecerdasan Buatan (AI), Internet Pelbagai Benda (IoT) dan sistem pertanian tepat dalam sektor pertanian.

“Di bawah Belanjawan ini, sebanyak RM27.75 juta diperuntukkan bagi Taman Pertanian Pintar dan Pertanian Tepat, termasuk Taman Agroteknologi Sarawak (SARTECH) di Semenggok, taman pertanian tepat di Sungai Sebiew, Kabuloh dan Rampangi, serta aplikasi IoT dalam sektor penternakan.

“Bagi mengintegrasikan keseluruhan rantaian nilai makanan dari ladang ke pasaran, sebanyak RM22.6 juta diperuntukkan pada 2027 untuk infrastruktur pertanian utama, termasuk Taman Akuakultur dan Kluster Makanan Metropolitan di Opar,” jelasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU