MUKAH: Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi bayangan bahawa Belanjawan Sarawak 2027 yang akan dibentangkan pada 12 Oktober ini bakal menyentuh kedudukan hasil negeri, bantuan sosial serta perkara berkaitan kos sara hidup rakyat.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan lebih awal butiran belanjawan berkenaan dan meminta rakyat menunggu sehingga pembentangannya pada hari pertama Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
“Insya-Allah, dua minggu lagi saya akan membentangkan Belanjawan Sarawak 2027.
“Kita tunggu sahaja.
“Ada negeri lain termasuk di Semenanjung dan Sabah, tarif elektrik mereka meningkat.
“Namun di Sarawak, jangan khuatir selagi Abang Jo ada,” katanya pada Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang Bahagian Mukah, di sini, hari ini.
Abang Johari turut memberi bayangan belanjawan berkenaan akan mengambil kira keperluan generasi akan datang, sejajar dengan kedudukan dan keupayaan ekonomi Sarawak.

Menurutnya, bajet itu juga akan memberi gambaran mengenai hala tuju ekonomi Sarawak, khususnya dalam memastikan kepentingan dan masa depan akan datang terus terpelihara.
“Bagaimana pula kita menghadapi ekonomi untuk anak-anak masa depan?
“Jangan susah, selagi Gabungan Parti Sarawak (GPS) ada, masa depan kita akan terus terjaga.
“Kita pun ada bantuan sosial.
“Saya akan umumkan pada 12 Oktober ini, termasuk jumlah pendapatan Sarawak sama ada meningkat atau turun,” jelasnya.
Menurutnya, kedudukan hasil negeri akan menentukan ruang kerajaan untuk melaksanakan pelbagai program pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
“Kalau pendapatan ada, apa-apa permintaan yang dikemukakan Bahagian Mukah serta bahagian lain akan dapat kita usahakan,” ujarnya.
Persidangan DUN Sarawak dijadual berlangsung selama 10 hari dari 12 hingga 21 Oktober 2026.
Ia juga merupakan persidangan terakhir bagi penggal semasa sebelum tempohnya berakhir pada Februari 2027.
Sebagai perbandingan, Abang Johari membentangkan Belanjawan Sarawak 2026 pada 24 November 2025 dengan jumlah perbelanjaan biasa sebanyak RM12.91 bilion berbanding unjuran hasil RM13.05 bilion, sekali gus mencatatkan lebihan diunjurkan sebanyak RM144 juta.
Daripada jumlah itu, RM5.6 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus manakala RM7.3 bilion disalurkan ke Akaun Kumpulan Wang Pembangunan untuk membantu membiayai perbelanjaan pembangunan 2026 yang ditetapkan sebanyak RM9.3 bilion.

