KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mencadangkan peruntukan tambahan lebih RM168 juta dalam Belanjawan 2027 untuk memperkukuh kebajikan dan bantuan kepada kumpulan sasar.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata cadangan itu dikemukakan selepas pihaknya mengadakan perbincangan bersama Kementerian Kewangan (MOF) bagi menentukan keperluan perbelanjaan kementerian untuk tahun depan.
“Peruntukan untuk penerima kebajikan adalah kira-kira RM3 bilion dan ia masih ada. Tetapi kita perlu menambah peruntukan bagi cadangan baharu yang kita kemukakan.
“Jumlah tambahan cadangan ini lebih RM168 juta, menjadikan keseluruhan peruntukan adalah RM4 bilion. Walaupun jumlah itu nampak besar, ia melibatkan penerima kebajikan yang disenaraikan satu persatu termasuk sekiranya terdapat penambahan penerima,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Sesi Libat Urus Pembangunan Piawaian Penjagaan Nasional bagi Warga Emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) di Hotel Pullman Kuching, hari ini.
Tambahnya, cadangan Belanjawan 2027 turut memberi tumpuan kepada bantuan wanita yang bercerai seperti urusan nafkah anak dan bantuan guaman, selain menambah peruntukan bagi penjagaan warga emas.
“Kita mempunyai bajet, terutamanya untuk membantu wanita yang bercerai dan perlu turun naik ke mahkamah termasuk menyediakan peguam.
“Untuk warga emas, kita juga mencadangkan supaya peruntukan bagi penjaga ditambah kerana penjaga di rumah merupakan unpaid care worker.
“Bagaimanapun, perkara ini terpulang kepada kerajaan sama ada mereka menerima cadangan tersebut atau tidak,” tegasnya.
Dalam hal berkaitan, Nancy memaklumkan, kementerian turut mengemukakan lima kategori atau elemen cadangan sekali gus memberi keutamaan kepada keperluan kumpulan sasar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Lima kategori itu termasuk penjagaan, wanita, Keganasan Rumah Tangga (KRT), keluarga dan warga emas,” jelasnya.
Sementara, Nancy memberitahu kesemua cadangan itu masih belum dimuktamadkan dan keputusan hanya akan diketahui semasa pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober depan.



