KUCHING: Belia tempatan digalakkan untuk memimpin penganjuran acara yang menarik bagi menonjolkan negeri ini di peta dunia, kata Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif Dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan.

Mengambil contoh penganjuran acara konsert pertama Borneo ‘An Anime Symphony’ oleh The Band Lab baru-baru ini, ia mampu menarik minat penonton hingga ke Sabah dan Semenanjung Malaysia untuk hadir menyaksikannya.
Sekali gus katanya, meninggalkan kesan yang tidak dapat dilupakan pada landskap budaya Borneo.
“Acara ini berjaya mendorong kepada sempadan artistik dan mempamerkan bakat hebat anak muda dengan kepelbagaian budaya. Kita puji semangat mereka untuk menjayakan program sedemikian,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks dibaca Setiausaha Politik Premier Sarawak Susan Clement Ingun ketika menyempurnakan acara ‘An Anime Symphony’ di Sekolah Menengah Lodge di sini, pada Sabtu.
Sehubungan itu, beliau memberi jaminan bahawa Kementerian bersedia untuk menyokong inisiatif sedemikian yang bukan sahaja mempamerkan bakat seni anak tempatan, tetapi juga menyumbang kepada dunia seni persembahan di Sarawak.
Sementara, persembahan ‘An Anime Symphony’ yang menampilkan pelbagai lagu dari filem animasi terkenal Jepun ini berjaya menarik sekitar 600 hadirin bagi sesi pertama yang berlangsung jam 2 petang.
Pengasas The Band Lab merangkap pengelola program ‘An Anime Symphony’ Jesmond Siew mendedahkan bahawa program ini akan diteruskan sebagai satu acara tahunan.
“Kita tidak akan mengehadkan ia kepada hanya satu konsep seperti anime sahaja, tetapi dikembangkan kepada genre lain termasuk lagu-lagu dari permainan video, animasi Disney dan sebagainya,” katanya ringkas.


