ARTIKEL

Lo Khere Chiang

Belia pemangkin legasi SUPP di Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Datuk Lo Khere Chiang, menyeru golongan belia Sarawak untuk menyertai Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dalam usaha memperkukuh perjuangan mempertahankan hak dan masa depan negeri ini.

Menurut beliau, penglibatan aktif generasi muda amat penting untuk memastikan kesinambungan perjuangan SUPP yang telah diasaskan sejak lebih enam dekad lalu.

“Hari ini kita lihat semakin ramai belia menyertai SUPP, dan ini adalah satu perkembangan yang sangat positif.

“Kita mesti terus menyemai semangat perjuangan dalam kalangan anak muda agar mereka faham betapa pentingnya SUPP dan GPS dalam melindungi hak Sarawak,” katanya semasa ditemui selepas Majlis Mengibarkan Bendera sempena ulang tahun ke-66 SUPP di Ibu Pejabat parti, hari ini.

Lo berkata, SUPP bukan sahaja parti politik tertua di Sarawak, tetapi juga simbol kepada perjuangan rakyat sejak era pramerdeka lagi.

“SUPP dari awal ditubuhkan untuk memperjuangkan kemerdekaan Sarawak. Hingga ke hari ini, semangat itu masih hidup untuk melindungi dan mempertahankan sumber asli negeri ini, seperti yang diimpikan oleh pemimpin-pemimpin terdahulu,” ujarnya.

Beliau turut menekankan bahawa peranan belia hari ini sangat penting dalam menyambung legasi tersebut, terutamanya dalam suasana politik dan sosial yang semakin mencabar.

“Kita perlukan anak muda untuk bangkit, memahami sejarah, dan bersama kita membina masa depan Sarawak.

“Kita ada pemimpin yang berwibawa seperti Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian yang membawa SUPP dan Sarawak ke arah yang lebih baik. Ini masa terbaik untuk belia sertai perjuangan ini,” tambah beliau.

Menurutnya, antara tumpuan utama kerajaan negeri masa kini adalah pendidikan, yang dilihat sebagai landasan kukuh bagi membina masa depan generasi muda.

“Pendidikan adalah keutamaan kita. Kita mahu anak-anak Sarawak mendapat ilmu dan peluang untuk maju. Dan ini semua hanya boleh dicapai dengan kepimpinan yang betul serta sokongan daripada rakyat, terutama anak muda,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menzahirkan rasa bangga kerana SUPP masih teguh berdiri selepas 66 tahun dan yakin parti itu akan terus memainkan peranan penting dalam landskap politik Sarawak menerusi sokongan padu rakyat, terutamanya golongan muda.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU