ARTIKEL

Steven meninjau reruai pameran dan jualan yang disediakan sempena Pameran Belia Bintulu 2026 anjuran JCI Jalan Tanjung Kidurong.

Belia perlu kuasai AI, teknologi baharu untuk kekal berdaya saing

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Golongan belia perlu menguasai kecerdasan buatan (AI) dan teknologi baharu bagi memastikan mereka kekal berdaya saing dalam pasaran pekerjaan yang semakin dipacu oleh revolusi digital serta perubahan pesat landskap ekonomi global.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata, perkembangan teknologi seperti AI, automasi, digitalisasi dan ekonomi hijau sedang mengubah cara industri beroperasi, sekali gus mewujudkan keperluan baharu terhadap tenaga kerja yang mempunyai kemahiran relevan.

Menurut beliau, generasi muda tidak lagi boleh bergantung kepada kaedah pembelajaran dan kemahiran tradisional semata-mata, sebaliknya perlu bersedia menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi yang berlaku pada kadar yang pantas.

“Dunia kini berubah dengan pantas, digitalisasi, kecerdasan buatan, ekonomi hijau dan teknologi maju sedang mengubah industri pada kadar yang belum pernah berlaku sebelum ini,” katanya.

“Oleh itu, golongan belia perlu terus belajar, menyesuaikan diri, meningkatkan keupayaan dan melengkapkan diri dengan kemahiran yang diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Pegawai Tugas-Tugas Khasnya, Steven Kong Kai Seng pada majlis penutupan Pameran Belia Bintulu 2026 anjuran Junior Chamber International (JCI) Jalan Tanjung Kidurong, Ahad malam.

Tiong berkata, penguasaan teknologi baharu bukan lagi satu pilihan, sebaliknya menjadi keperluan penting bagi memastikan generasi muda mampu bersaing dalam ekonomi masa depan yang semakin berasaskan inovasi dan pengetahuan.

Katanya, kemahiran dalam bidang digital, analisis data, teknologi pintar, automasi dan AI akan menjadi antara aset penting dalam membentuk tenaga kerja yang mampu memenuhi keperluan industri moden.

Beliau berkata, kedudukan Bintulu sebagai antara pusat pertumbuhan ekonomi utama negara turut membuka peluang luas kepada belia untuk terlibat dalam sektor berimpak tinggi seperti tenaga, pembuatan, ekonomi digital, pelancongan serta pelbagai industri baharu yang sedang berkembang pesat.

Menurutnya, pelbagai pelaburan yang masuk ke Bintulu bukan sahaja menjana pertumbuhan ekonomi, malah mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan yang memerlukan penyertaan aktif generasi muda.

Sehubungan itu, beliau menggesa golongan belia supaya berani meneroka bidang keusahawanan, membangunkan idea kreatif dan menghasilkan produk inovatif yang mampu memberikan nilai tambah kepada ekonomi setempat.

Tegasnya, generasi muda tidak seharusnya hanya menjadi pencari pekerjaan, sebaliknya perlu berusaha menjadi pencipta peluang pekerjaan menerusi inovasi dan perusahaan yang berdaya maju.

Beliau turut menyifatkan Pameran Belia Bintulu 2026 sebagai platform penting untuk mengetengahkan bakat, kreativiti dan potensi belia dalam pelbagai bidang termasuk inovasi, teknologi dan keusahawanan.

“Jangan takut untuk bermula secara kecil, setiap usahawan, inovator atau pemimpin yang berjaya bermula dengan satu langkah,” katanya.

Pada masa sama, Tiong mengingatkan bahawa kejayaan dalam era teknologi memerlukan disiplin, kesungguhan dan pembelajaran berterusan kerana perubahan yang berlaku menuntut individu sentiasa meningkatkan kemahiran serta pengetahuan mereka.

Beliau berkata, kemajuan teknologi perlu diseimbangkan dengan pemeliharaan nilai kemanusiaan, budaya serta semangat perpaduan yang menjadi kekuatan masyarakat majmuk, khususnya di Sarawak.

Tiong turut merakamkan penghargaan kepada JCI Jalan Tanjung Kidurong, penaja, organisasi sokongan, sukarelawan serta peserta yang menjayakan penganjuran program tersebut.

Beliau berharap hubungan, perkongsian ilmu dan inspirasi yang terjalin sepanjang pameran itu dapat diteruskan selepas program berakhir, sekali gus melahirkan lebih ramai belia berkemahiran tinggi yang mampu memanfaatkan teknologi baharu demi kemajuan Bintulu dan Sarawak pada masa hadapan.

Steven merakam gambar bersama jawatankuasa penganjur dan peserta Pameran Belia Bintulu 2026 anjuran JCI Jalan Tanjung Kidurong.
Steven meninjau reruai pameran dan jualan yang disediakan sempena Pameran Belia Bintulu 2026 anjuran JCI Jalan Tanjung Kidurong.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU