SARATOK: Penglibatan golongan belia dalam aktiviti permotoran perlu dilihat lebih daripada sekadar memenuhi minat dan mengetengahkan bakat, tegas Mohamad Duri.
Penyandang kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka itu berkata, sebaliknya penglibatan tersebut berpotensi membentuk disiplin diri, memupuk semangat persaudaraan serta menghindarkan mereka daripada terjebak dalam gejala sosial yang tidak sihat.
Oleh itu, katanya, aktiviti permotoran yang dilaksanakan secara terancang dan positif mampu membuka ruang kepada golongan belia untuk meneroka peluang dalam bidang keusahawanan.
Menurutnya, penglibatan aktif dalam komuniti permotoran bukan sahaja dapat membentuk sikap bertanggungjawab dan meningkatkan disiplin, malah mendidik golongan belia supaya menghormati peraturan serta mengutamakan aspek keselamatan ketika berada di jalan raya.
“Pada pandangan saya, perkara yang lebih penting ialah bagaimana penglibatan golongan belia dalam bidang permotoran ini dapat membina disiplin diri, di samping membuka ruang kepada mereka menceburi bidang keusahawanan.
“Melalui aktiviti seperti ini, kita dapat menggalakkan belia mengisi masa dengan kegiatan berfaedah dan secara tidak langsung mengurangkan risiko mereka terjebak dengan gejala yang tidak sihat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Saratok Members Motor Gathering 2026 yang berlangsung di Pentas Utama Sri Kalaka, kelmarin.
Jelasnya, minat terhadap dunia permotoran perlu disalurkan menerusi aktiviti yang sihat, tersusun dan bertanggungjawab supaya memberi manfaat kepada pembangunan sahsiah golongan belia.
Sehubungan itu, beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan sebagai wadah menghimpunkan golongan belia dalam suasana positif, sekali gus memperkukuh semangat perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
Dalam pada itu, Mohamad berkata beliau amat teruja apabila Power Legacy Motorsport Club memilih Daerah Saratok sebagai lokasi penganjuran acara berprestij berkenaan yang julung kali diadakan di daerah itu.
Beliau yang juga Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kalaka menyifatkan penganjuran acara itu sebagai sangat meriah dengan kehadiran peminat dan penggiat permotoran dari seluruh Sarawak, selain penyertaan daripada negara jiran, iaitu Indonesia dan Brunei Darussalam.
“Dalam bentuk tersirat, penganjuran program ini turut membuka peluang untuk mempromosikan Sarawak amnya dan Saratok khususnya kepada pengunjung yang datang dari luar.
“Tahniah kepada pihak penganjur dan diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.




