ARTIKEL

DR. SIM menyaksikan penyerahan dokumen kontrak oleh Ahmad Denney kepada wakil kontraktor di sini, semalam.

Projek tebatan banjir RM7.77 juta lindungi 500 penduduk Gem Park

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Kira-kira 500 penduduk di 94 kediaman di Gem Park dekat sini dijangka menikmati perlindungan lebih baik daripada risiko banjir apabila projek tebatan banjir fasa kedua bernilai RM7.77 juta siap menjelang Mei 2028.

Timbalan Premier, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, projek berkenaan akan membantu mengurangkan risiko banjir di kawasan perumahan itu menerusi pembinaan saliran utama yang membolehkan air dari kawasan sekitar dialirkan terus ke sungai tanpa melalui kawasan kediaman penduduk.

Tegasnya, langkah itu sekali gus dapat mengurangkan risiko limpahan air yang boleh menjejaskan kediaman penduduk, khususnya ketika hujan lebat.

“Bagi menangani masalah air bertakung ketika paras sungai tinggi atau air pasang, sebuah kolam takungan baharu turut dibina bagi menampung lebihan air sementara sebelum dipam keluar apabila paras air sungai menurun.

“Apabila paras air sungai tinggi, air akan ditakung sementara dan apabila paras air menurun, air akan dipam keluar,” katanya ketika ditemui selepas majlis pecah tanah projek berkenaan, di sini, semalam.

Jelasnya, projek yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak itu turut merangkumi pembinaan parit konkrit bertetulang selebar lima meter sepanjang 558 meter serta parit selebar satu meter sepanjang 265 meter.

Skop kerja lain, tambahnya, termasuk menaikkan benteng tanah sedia ada kepada aras 3.6 meter daripada aras rujukan serta meningkatkan aras jalan kepada 3.1 meter bagi memperkukuh perlindungan kawasan berkenaan daripada ancaman banjir.

Beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, projek itu dijangka mengambil masa 18 bulan untuk disiapkan, dengan sasaran tarikh siap pada 22 Mei 2028.

Dalam perkembangan berasingan, Sim berkata, lima kawasan yang dikenal pasti berdepan masalah banjir setempat di Bintulu kini mempunyai projek penyelesaian pada pelbagai peringkat pelaksanaan.

Daripada jumlah itu, satu projek sudah siap sepenuhnya, manakala satu lagi mencatatkan kemajuan pelaksanaan sebanyak 86 peratus.

Pengarah JPS Sarawak, Datuk Ir. Ts. Ahmad Denney Ahmad Fauzi, turut hadir.

BERITA LAIN

Sisa industri jadi sumber ekonomi baharu

BINTULU: Kerajaan Sarawak mempergiat usaha memperkukuh ekonomi kitaran dengan mengoptimumkan penggunaan sisa industri sebagai sumber ekonomi bernilai tinggi, sekali gus membuka peluang penghasilan produk baharu,

BERITA TERBARU