BINTULU: Kerajaan Sarawak mempergiat usaha memperkukuh ekonomi kitaran dengan mengoptimumkan penggunaan sisa industri sebagai sumber ekonomi bernilai tinggi, sekali gus membuka peluang penghasilan produk baharu, menjana pendapatan tambahan serta mengurangkan impak terhadap alam sekitar.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pendekatan berteraskan prinsip ‘Don’t Waste the Waste, Monetize the Waste’ menjadi antara strategi penting kerajaan negeri bagi memastikan setiap sumber dan hasil sampingan aktiviti perindustrian dimanfaatkan sepenuhnya.
Beliau berkata sisa industri tidak seharusnya dianggap sebagai bahan buangan yang tidak mempunyai nilai, sebaliknya perlu dilihat sebagai sumber berpotensi untuk menghasilkan pelbagai produk bernilai tambah menerusi penerapan teknologi dan inovasi.
Menurutnya, industri kelapa sawit misalnya bukan sahaja berpotensi menghasilkan minyak sawit sebagai produk utama, malah sisa daripada proses pengeluarannya boleh dimanfaatkan untuk menghasilkan baja, bahan api penerbangan mampan (SAF) dan makanan haiwan.
“Kita tidak seharusnya membazirkan sisa yang dihasilkan, sebaliknya perlu melihat bagaimana bahan berkenaan boleh dimanfaatkan dan ditukar menjadi sumber ekonomi baharu.
“Dalam industri kelapa sawit, kita bukan sahaja boleh menghasilkan minyak sawit, malah sisa pemprosesannya juga boleh digunakan untuk menghasilkan baja, SAF dan makanan haiwan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Anugerah Kelestarian Bintulu (BiSA) 2026 di sebuah hotel di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata sisa pemprosesan kelapa sawit turut mempunyai potensi untuk dimanfaatkan dalam penghasilan tenaga alternatif menerusi pengumpulan dan pemprosesan gas metana yang terhasil daripada aktiviti berkenaan.
Menurutnya, gas metana tersebut boleh diteroka melalui teknologi bersesuaian bagi mendapatkan hidrogen, sekali gus membuka peluang kepada pembangunan sumber tenaga baharu berasaskan sisa industri.
“Gas metana yang terhasil daripada sisa kelapa sawit mengandungi hidrogen. Jika kita mengumpulkan gas tersebut, kita boleh menghasilkan hidrogen daripada sisa berkenaan.
“Ini menunjukkan bahawa sisa industri mempunyai potensi besar untuk dimanfaatkan sebagai sumber tenaga dan menghasilkan produk yang mempunyai nilai ekonomi,” katanya.
Beliau berkata penggunaan teknologi dalam mengurus dan memproses sisa industri bukan sahaja dapat mengurangkan kesan pencemaran terhadap alam sekitar, malah meningkatkan kecekapan penggunaan sumber serta mengurangkan kebergantungan kepada bahan mentah baharu.
Malah, ujarnya, pendekatan tersebut juga berupaya mewujudkan rantaian nilai industri yang lebih menyeluruh apabila bahan yang sebelum ini dianggap sebagai sisa dapat diproses semula menjadi produk komersial, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
Usaha berkenaan mencerminkan komitmen Sarawak untuk memperkukuh pembangunan industri mampan dengan mengintegrasikan teknologi, inovasi dan prinsip ekonomi kitaran dalam sektor pengeluaran, selaras dengan aspirasi negeri membangunkan ekonomi yang lebih berdaya tahan dan mesra alam,” tambahnya.





