BINTULU: Pengiktirafan Bintulu sebagai antara 39 kluster industri rendah karbon baharu di dunia oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai antara destinasi berpotensi besar dalam penerokaan dan pembangunan industri mampan di peringkat antarabangsa.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pengiktirafan itu mencerminkan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap pendekatan progresif kerajaan negeri dalam mempercepat peralihan sektor perindustrian kepada penggunaan teknologi hijau serta pengurangan pelepasan karbon.
Menurutnya, Sarawak kini berada pada landasan yang betul untuk memainkan peranan lebih besar dalam landskap perindustrian global menerusi penerokaan sumber tenaga alternatif, termasuk hidrogen yang berpotensi menjadi antara sumber tenaga utama pada masa hadapan.
Beliau berkata keberanian Sarawak meneroka teknologi dan penyelesaian tenaga baharu menunjukkan komitmen negeri itu untuk mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil, sekali gus menyokong agenda peralihan tenaga global.
“Dunia kini melihat Sarawak sebagai model dalam menerajui pembangunan rendah karbon.
“Kita berani meneroka penyelesaian baharu, termasuk memperkenalkan tenaga hidrogen sebagai alternatif kepada hidrokarbon bagi mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Bintulu Sustainability Awards (BiSA) 2026 di sebuah hotel di sini malam tadi.
Abang Johari berkata kelestarian alam sekitar antara tiga tonggak utama Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), selain kemakmuran ekonomi dan keterangkuman sosial.
Menurutnya, ketiga-tiga tonggak itu menjadi asas kepada pendekatan pembangunan Sarawak yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi, malah memastikan kesejahteraan rakyat dan pemeliharaan alam sekitar terus diberi keutamaan.
Beliau berkata kedudukan Sarawak di Pulau Borneo yang menempatkan salah satu kawasan hutan hujan tropika tertua di dunia turut membawa tanggungjawab besar kepada kerajaan negeri untuk melindungi khazanah biodiversiti dan sumber alam semula jadi.
Justeru, katanya, Sarawak turut meneroka teknologi pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk mengawal pelepasan karbon, khususnya daripada aktiviti perindustrian.
Tambahnya, penggunaan teknologi berkenaan penting bagi memastikan sektor industri dapat terus berkembang dan kekal berdaya saing tanpa mengabaikan tanggungjawab terhadap alam sekitar.
Katanya, kerajaan negeri akan terus memperkukuh pendekatan pembangunan berasaskan teknologi hijau dan inovasi bagi memastikan pertumbuhan ekonomi Sarawak bergerak seiring dengan agenda kelestarian.






