JOHOR BAHRU: Dua individu maut rentung manakala dua lagi cedera apabila kereta yang dinaiki terbakar selepas kemalangan berhampiran Permas Jaya Golf Club, menghala ke Bakar Batu, awal pagi ini.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, PBK I Razali Hussein, menyatakan pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 4.35 pagi.
Sebaik tiba di lokasi, anggota bomba mendapati sebuah kereta Mercedes dipercayai terbabas dan terbalik di tepi jalan sebelum terbakar sehingga 90 peratus.
Daripada lima mangsa yang terlibat, tiga orang sempat keluar dari kenderaan sebelum bomba tiba, manakala seorang lelaki berusia 23 tahun yang melecur di kaki dan tangan diberi rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) seperti dilapor Bernama.
Seorang lagi mangsa cedera dibawa orang awam ke hospital dan seorang mangsa selamat, sementara dua mangsa yang rentung belum dikenal pasti identitinya lalu diserahkan kepada polis, manakala api dipadamkan sepenuhnya pada 6.47 pagi menggunakan satu aliran salur bantu mula.






