KOTA BHARU: Tukang karut dan penyanyi dikir barat tersohor, Mohd Zain Ismail atau lebih dikenali sebagai Jen Endoro, meninggal dunia pada usia 65 tahun akibat strok.
Beliau menghembuskan nafas terakhir di Hospital HUSM Kubang Kerian di sini pada pukul 6.02 pagi tadi seperti dilapor Bernama.
Kematian itu disahkan anak bongsunya, Mohammad Faris Mohd Zain, 20, yang memaklumkan bahawa si arwah telah menghidap strok sejak empat tahun lalu.
Menurut Mohammad Faris, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulau Melaka selepas solat Zohor.
Sejak 1970-an, Jen Endoro dikenali sebagai penyanyi dikir barat menerusi lagu seperti Mariani, Bakpo Tok Royak Demo Bini Ore, Masliza, Anak Siapa Hok Lalu Tadi dan Jangan Ceroboh Hutan.





